KOTA KINABALU: Dengan kepakaran dan kelengkapan yang lengkap, sudah tiba masanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu pasukan sedia ada untuk melindungi negara ini daripada serangan Covid-19.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri dalam kenyataannya hari ini berkata pasukan tentera Malaysia diibaratkan sebagai “nation within a nation”, mereka mempunyai kelengkapan yang “complete” untuk melindungi negara di waktu darurat dan kecemasan.
“Dalam suasana sekarang, kepakaran mereka amatlah diperlukan untuk membantu rakyat.
“Mereka mempunyai hospital medan, hospital tentera yang dilengkapi doktor pakar, kor perubatan, dan juga kor kejuruteraan jika ada keperluan membina hospital, kor keagamaan yang memimpin dari aspek keagamaan, malah jika memerlukan sukarela, terdapat puluhan ribu pelajar maktab tentera, mahasiswa UPNM, alumni PLKN terlatih, askar wataniah.
“Dari segi pengangkutan, angktan tentera kita memiliki kenderaan pelbagai jenis di darat, laut dan udara.
“Untuk bekalan makanan tentera kita mempunyai rangkaian supermarket Pernama, manakala Affin Bank berkhidmat dalam bidang kewangan,” katanya.
Abdul Rahim yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan sebelum ini berkata, ketika dalam keadaan begini, khidmat tentera sangatlah diperlukan untuk menjayakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Katanya pasukan ATM bukan sahaja terlatih untuk menghadapi apa saja jenis krisis, tetapi mereka mempunyai kekuatan mental yang kuat menghadapi apa sahaja keadaan, yang mungkin selama ini disalah anggap sebagai pasukan yang hanya bertempur di medan perang.
Khidmat ATM kita telah diiktiraf di semua medan antarabangsa, seperti pasukan Malbatt yang ditugaskan di Lebanon, kor perubatan di Afghanistan, malah Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar Bangladesh telah diiktiraf sebagai khidmat cemerlang.
“Jadi dengan keadaan negara menghadapi krisis seperti ini, kenapa tidak memberikan peluang kepada mereka berkhidmat untuk rakyat dan negara sendiri?,” katanya.
Abdul Rahim menyambut baik pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan menggerakkan ATM bermula esok, membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat.
Namun, Ahli Parlimen Kudat itu berkata rakyat tidak perlulah panik kerana ia bukanlah satu perintah darurat.
“ Konsep Pertahanan Menyeluruh (Total Defence) yang menjadi intipati pengurusan pertahanan dan keselamatan negara adalah menjadi panduan dan protokol.
“Protokol ini terpakai khusus dalam menghadapi krisis dan ini bukan kaedah baru. Di kawasan ESSComm misalnya, wujud saling kerjasama antara dua agensi utama negara PDRM dan ATM, dan nampaknya “cost effective”.
“ATM akan terlibat dalam sektor yang mereka dibenarkan terlibat terutama penyediaan aset dan melibatkan projek jiwa murni angkatan tentera. ATM membantu PDRM, manakala kuasa menangkap dan menahan (power to arrest) masih dalam bidang kuasa PDRM,” tambahnya. -pr/BNN