KOTA KINABALU: Tindakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Alimat bersama Pengurus Besar (GM) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Haji Ahmad Shaari dan rombongan yang menyampaikan kerusi roda kepada hospital pada Isnin lalu telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Unit Kampong Lipasu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu, Sabah, Encik Jailin Nazrin berkata, pihak berkuasa keselamatan wajar mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar dan melanggar PKP yang sudah dikuatkuasakan.
Katanya, pelaksanaan PKP berikutan wabak Covid 19 yang melanda negara harus dipatuhi oleh seluruh rakyat termasuk penjawat awam.
Menurutnya, sesiapa juga yang ingkar arahan PKP yang berkuatkuasa dari 18 Mac hingga 14 April 2020 boleh dikenakan tindakan tanpa mengira status dan jawatan mereka. Oleh itu ahli- ahli Peladang mahu melihat Mazlan Aliman dan Ahmad Shaari diambil tindakan kerana melanggar PKP.
Justeru katanya, dalam kes penyampaian kerusi roda sumbangan Nafas oleh Mazlan, Ahmad dan rombongan kepada hospital, yang sengaja dibuat semasa PKP dan serangan wabak Covid 19 merupakan pelanggaran kepada PKP yang wajar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa”.
“Tambahan pula kerusi roda yang disumbangkan kepada pihak hospital bukan suatu keperluan yang tersangat mendesak dan perlu disegerakan penyerahannya, termasuk ketika menularnya wabak Covid 19 dan PKP.
“Ianya boleh dibuat selepas PKP atau pada tarikh yang sesuai. Nyata apa yang dilakukan oleh mereka hanya semata-mata mahu mendapatkan publisiti murah”.
“Sedangkan ramai orang awam yang melanggar PKP telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda oleh pihak mahkamah”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jailin mengulas laporan media mengenai tindakan Mazlan Alimat, Ahmad Shaari dan pengurusan Nafas yang didakwa membelanjakan duit Nafas dengan sesuka hati bagi membeli sebanyak 30 kerusi roda untuk disumbangkan kepada Hospital Kuala Lumpur.
Perbuatan mereka yang juga pemimpin parti pembangkang iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) didakwa melanggar peraturan Pertubuhan Peladang (PP) kerana tidak mempunyai punca kuasa, selain tidak memberi faedah secara langsung kepada ahli-ahli peladang.
Terbaru, 5 lelaki di Jempol dijatuhkan hukuman penjara selama 30 hari kerana didapati bergerak dari suatu tempat ke tempat lain biarpun PKP sudah dikuatkuasakan.
Mereka dikesan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3( 1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah -Langkah Di Dalam Tempat Jangkitan) 2020 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jailin berkata, tindakan yang akan dikenakan terhadap orang awam atau majikan yang dengan sengaja melanggar PKP ialah hukuman penjara enam (6) bulan atau denda RM1,000.00.
Beliau menegaskan, mana-mana pihak yang mengaja melanggar PKP harus dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa keselamatan tanpa memilih bulu.
Semalam AJP PPK Pitas, Encik Mukram Haji Dakulah berkata, Mazlan dan Haji Ahmad Shaari perlu hentikan perbuatan mereka membelanjakan duit Nafas dengan sesuka hati.
Katanya, berdasarkan berita dan gambar yang dimuatkan dalam facebook Nafas dan LPP, mereka telah menyampaikan 30 kerusi roda sumbangan Nafas kepada HKL pada 30 Mac 2020.
“Mereka tidak wajar membelanjakan duit Nafas sesuka hati jika benar duit CSR banyak boleh membantu”.
“Ini kerana Nafas patut melihat kebajikan ahli-ahlinya dan bukan mencari publisiti dengan membuat sumbangan kepada hospital, di mana semua tahu kerajaan telah memberikan peruntukan yang besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia”, katanya.
Mukram juga mempersoalkan apa punca kuasa yang digunakan oleh Ahmad Shaari untuk membelanjakan duit tersebut kerana perbelanjaan itu tidak mendapat kelulusan mesyuarat AJP Nafas. Oleh itu Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) perlu melihat perkara ini.
“Duit Nafas itu sepatutnya digunakan dengan bijak untuk membantu ahli-ahli peladang seluruh negara yang terkesan akibat tularnya Wabak Covid-19”, katanya.-pr/BNN