KOTA KINABALU: Tuduhan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Zahid Hamidi campur tangan secara berlebihan dalam urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, adalah tidak berasas.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, mereka merujuk kepada surat rasmi yang dihantar kepada Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Zahid yang sedang tular di media sosial.

Walau bagaimanapun katanya, keabsahan surat tersebut tidak dapat dipastikan.

“Dalam surat tersebut, Zahid telah meminta agar PM mempertimbangkan jawatan-jawatan kepada pemimpin-pemimpin UMNO Sabah yang barangkali terlepas pandang. Dan ini dilakukan secara tertutup malah rahsia di antara kedua-dua pemimpin.

“Permintaan seperti itu adalah perkara biasa melibatkan parti-parti yang bekerjasama untuk terus berhubung dan berkomunikasi agar dapat sama-sama mentadbir negara ini secara adil, saksama dan lurus seperti pedang.

“Malah ianya dilakukan melalui saluran yang betul dan terhormat agar pemimpin nombor satu negara itu dapat memberikan pertimbangan sewajarnya tanpa paksaan dan tekanan”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Aziz berkata, malangnya perkara yang dilakukan secara tertutup dan profesional itu telah dieksploitasikan oleh segelintir pemimpin PPBM untuk mengaut keuntungan politik yang sama sekali tidak menguntungkan mana-mana pihak tatkala rakyat Malaysia sedang gusar berhadapan dengan wabak pembunuh, COVID-19.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh pemimpin PPBM itu menggambarkan kekeliruan mereka untuk menggarap maksud Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) yang terbina atas sokongan dan dokongan daripada pelbagai parti termasuklah UMNO sebagai parti terbesar dalam perikatan.

Ironinya kata beliau, Zahid sebagai presiden parti UMNO tidak pernah meminta sebarang jawatan dalam kabinet sehingga kesnya di mahkamah selesai.

“Ini merupakan bukti jelas bahawa UMNO tidak tamak dan gila kuasa seperti tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin PPBM tersebut.

“Hakikatnya, Zahid hanya melaksanakan amanah sebagai presiden parti untuk menyampaikan kebimbangan para pemimpin UMNO Sabah yang merasakan seolah-olah dipinggirkan terutamanya dari segi pengagihan jawatan-jawatan penting dan strategik di Sabah. Kebimbangan ini disuarakan dengan penuh hemah dan profesional dan bukannya dilakukan secara terbuka ataupun paksaan”, tegasnya.

Abd Aziz berkata, memang benar pelantikan jawatan ini adalah hak prerogatif PM. Namun, keprerogatifan ini berasaskan sokongan parti-parti politik lain yang percaya beliau akan berlaku adil, saksama dan lurus.

“Kami akan terus menilai keikhlasan PM untuk bersama-sama mentadbir negara ini khususnya di Sabah. Sebagai parti terbesar di negeri ini, maka sewajarnya PM menunjukkan kebijaksanaan dengan mempertimbangkan permintaan pemimpin-pemimpin Sabah”, ujarnya.

Beliau menyeru pemimpin PPBM agar belajar untuk menghormati kerahsiaan dan bersikap lebih profesional.

Katanya, janganlah menggunakan kesempatan dalam kesempitan untuk menangguk di air keruh kerana ianya tidak menguntungkan sama sekali.

“Hentikan sebarang kenyataan-kenyataan tidak matang yang boleh mengganggu-gugat kestabilan politik negara, yang sedang kita nikmati ini.

“Kenyataan seperti ramai pemimpin-pemimpin PPBM Sabah yang lebih layak untuk mendapat jawatan adalah kenyataan yang angkuh dan bongkak. Ianya menampakkan sisi jelas bahawa PPBM sedang mabuk dibuai kuasa. Tidak wujud semangat berpasukan.

“Justeru, sikap mementingkan diri sendiri yang sedang dipupuk oleh pemimpin PPBM haruslah dibuang sekiranya kita ingin mengekalkan kestabilan politik yang baru terbina ini”, tegas Abdul Aziz..-pr/BNN