PRIHATIN…Biro Kebajikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tuaran telah menziarah dan menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran di Kg Binsuluk, Membakut.
Pengerusi Biro itu, Encik Musli Separ telah menyerahkan sumbangan dan bantuan itu kepada wakil keluarga mangsa, Haji Osman Haji Ali dengan disaksikan oleh Encik Shamsul Husry Abd Wahid Wahid, wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd.Arifin Mohd.Arif.
“Semoga dengan sedikit bantuan yang dihulurkan oleh BERSATU Bahagian Tuaran yang diterajui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ini, dapat membantu meringankan beban kepada keluarga mangsa.
“Kami amat bersimpati dengan tragedi yang berlaku dan berharap keluarga mangsa akan tabah menghadapi dugaan ini”, kata Musli.
Dalam tragedi yang berlaku pada 1 Syawal itu, seorang ibu dan empat anak lelakinya rentung selepas rumah jenis tidak kekal yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Aishah Jumat, 58 tahun, Dzulkarnain Othman 34 tahun, Dzulnisham 27 tahun, Rozaini 26 tahun dan Rosdi 24 tahun.
Dalam kejadian itu, dua lagi anaknya berusia 29 dan 25 tahun cedera melecur dan dirawat di Hospital Beaufort manakala suami Aishah, Othman Ali, 64 tahun bersama menantunya selamat.
Kelihatan, Musli (empat dari kiri) menyerahkan bantuan dan sumbangan kepada Osman, sambil diperhatikan oleh Shamsul (lima dari kiri) dan ahli jawatankuasa Biro Kebajikan BERSATU Tuaran.-pr/BNN