KOTA KINABALU: Insiden kecurian di Pusat KK Wetlands telah mengundang kekecewaan serta kritikan hebat daripada Ketua Wanita Parti Cinta Sabah, Dr Regina Lim.

Menurut beliau, insiden tersebut bukan sahaja satu bukti kegagalan kerajaan Warisan untuk melindungi aset negeri Sabah tetapi juga penunjuk aras keadaan ekonomi di Sabah yang merudum di bawah kerajaan Warisan.

“Kecurian yang berlaku ini terjadi kerana kegagalan kerajaan Warisan untuk melindungi sebuah aset warisan negeri berpunca dan kegugupan mereka di dalam urusan ekonomi Sabah.

“Rakyat Sabah tidak harus lupa kegagalan kerajaan Warisan seperti ini apabila memilih kerajaan yang baru dalam masa terdekat nanti.

“Janganlah sesekali tersilap memilih kerana akhirnya kita rakyat Sabah juga rugi gara-gara pimpinan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Dr Regina, apabila sesebuah kerajaan gagal melindungi aset negeri yang diwarisi maka kerajaan tersebut telah gagal untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanatkan kepadanya tidak kira apa jua alasannya.

“KK Wetlands merupakan sebuah lokasi pelancongan yang sering dikunjungi pelancong yang melawat Sabah. Insiden kecurian ini semestinya membina persepsi bahawa keselamatan mereka mungkin terancam jika melawat Sabah.

“Apabila pelancong mula khuatir untuk melancong ke Sabah, secara automatiknya yang terjejas kerananya adalah rakyat serta ekonomi Sabah sahaja”, tegasnya.

Dr Regina juga pada masa sama mengecam kerajaan Warisan kerana hanya memberi kepentingan kepada ‘suku kaum politik’ di sekeliling mereka tanpa mengendahkan pentadbiran negeri Sabah dan kemajuannya.

“Jelas di sini bahawa visi pentadbiran Sabah adalah untuk memastikan orang di sekeliling mereka dilantik ke jawatan tinggi di GLC dan dibayar gaji yang lumayan sebagai ganjaran kesetiaan mereka kepada Warisan.

“Kebajikan rakyat diketepikan sehingga ke tahap kerajaan Warisan tidak ingin untuk menyediakan pengawal untuk menjaga sebuah aset negeri seperti ini, apakah ini kesudahannya yang di tanggung oleh rakyat kita?

“Kerajaan gagalkrasi seperti Warisan wajib ditolak sebulat-bulatnya oleh rakyat”, katanya.

Terletak di antara Bukit Bendera dan Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, KK Wetlands wujud di satu kawasan tanah lembap hutan paya bakau.

Selain di Osaka, kawasan ini merupakan satu-satunya paya bakau yang masih tinggal berhampiran pusat bandar raya yang masih terpelihara rapi sehingga ke hari ini.

Sebelum ini, Presiden Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS) , Datuk Zainie Abdul Aucasa telah dilaporkan mengadu beliau kecewa kerana permohonan untuk dibekalkan pegawal keselamatan untuk menjaga sekuriti di kawasan tersebut di tolak.

Dakwa beliau ini tetap terjadi walaupun telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Jabatan Hidupan Liar, Sabah.

Apabila ditanya alasan permohonan beliau ditolak, beliau menjawab permohonan tersebut telah ditolak atas alasan kerajaan Sabah tidak cukup duit.

Siasatan awal mendapati insiden kecurian yang berlaku ini dilakukan oleh mereka yang tinggal di rumah setinggan yang terletak di sebelah KK Wetlands.

Di antara perkara pertama yang dijanjikan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah adalah untuk menyelesaikan masalah rumah setinggan ini.

“Apa yang berlaku berpunca daripada adaptasi polisi sekutu Warisan, Pakatan iaitu untuk tidak menunaikan janji manifesto memandangkan manifesto itu bukan sebuah kitab suci” sindir Ketua Wanita PCS itu lagi.

Sebelum ini, kejadian kebakaran di beberapa kawasan setinggan telah menghangatkan isu setinggan ini.

Namun demikian, tidak ada sebarang tindakan diambil oleh Kerajaan Sabah masa itu untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.-pr/BNN