KOTA KINABALU: Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Negeri Sabah menyambut baik perlantikan Datuk Hazani Ghazali sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru, menggantikan Datuk Zaini Jass yang dilantik ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Ketua Pesuruhjaya Ahli Kehormat Rela Sabah, Datuk Jerry Ambuting bin Mohd, berkata persatuan tersebut juga menyokong komitmen yang diberikan oleh Hazani untuk memberi fokus kepada usaha membanteras sindiket and activiti penyeludupan dadah yang amat berleluasa di negeri ini, dan juga mengekalkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan di kawasan ESSZone (Zon Selamat Timur Sabah).
“Kita menyambut baik perlantikan Hazani sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baru kerana dengan pengalamannya yang luas di Sabah, sebagai bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), negeri ini akan terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.
“Di samping itu, kita juga menyokong komitmen yang diberikan oleh beliau untuk memberikan fokus kepada usaha membanteras sindiket dan aktiviti penyeludupan dadah yang amat berleluasa di negeri ini.
“Semoga dengan adanya komitmen sedemikian, masalah dadah di negeri ini akan dapat diperangi dan dibanteras dengan sehabis-habisnya dan matlamat untuk menjadikan Sabah bersih tanpa dadah dapat dicapai,” kata Jerry, dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya tahap keselamatan dan kesiapsiagaan di kawasan Pantai Timur perlu sentiasa ditingkatkan agar masalah pencerobohan oleh elemen-elemen asing seperti pendatang tanpa izin (PATI) dan anggota militan daripada luar dapat diatasi, demi keamanan dan keharmonian berterusan di Sabah.
Hazani, semasa majlis serah terima antara beliau dan Zaini, berkata beliau akan memastikan kertas siasatan dibuka berhubung aktiviti itu untuk tindakan sewajarnya dan Sabah didapati telah dijadikan lokasi transit oleh sindiket penyeludupan dadah sebelum diedarkan ke negara jiran.
“Saya juga akan meneruskan kerjasama dengan Esscom dalam mengekalkan keselamatan dan kesiapsiagaan di kawasan ESSZone (Zon Selamat Timur Sabah). Kita berharap komander ESSCom baharu akan bersama-sama dalam menggarap serta mengemas kini perintah berkurung untuk penentuan operasi,” katanya. -pr/BNN
Foto:
– Datuk Jerry Ambuting bin Mohd