KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Sepanggar berharap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau akan ditandingi oleh BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketuanya, Encik Abqaree Fawwaz Abekan berkata, DUN Darau merupakan salah satu daripada 13 kerusi baharu yang wajar diwakili oleh calon Bersatu.

Beliau yakin, BERSATU dapat memenangi DUN Darau sekiranya diberi peluang untuk bertanding kerusi itu memandangkan selama ini BERSATU telah bekerja dan mendampingi rakyat di kawasan itu.

Katanya, muka baru perlu diberi peluang bertanding kerusi Darau kerana kawasan itu memerlukan Wakil Rakyat yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu Darau juga memerlukan Wakil Rakyat mempunyai wawasan memastikan sosio ekonomi dan pendidikan rakyat terus diperkasa dan dipertingkatkan.

“Banyak kampung tradisi dalam kawasan Darau yang perlu dipastikan tidak tercicir daripada menerima limpahan pembangunan daripada kerajaan”, katanya dalam kenyataan.

Abqaree yang juga Exco Armada Nasional berkata, lebih 45% pengundi dalam kawasan Darau adalah pengundi muda yang akan menilai kemampuan calon berdasarkan manifesto yang ditawarkan.

“Armada Sepanggar yakin manifesto Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang akan dilancarkan menjelang PRN adalah manifesto yang relevan, realistik dan inklusif untuk golongan muda.

“Kita tidak akan menawarkan manifesto yang tidak realistik dan sukar ditunaikan hanya semata-mata untuk menarik dan memancing sokongan rakyat”, tegasnya.

Katanya, untuk memastikan Darau terus maju dan menikmati pembangunan, rakyat perlu memastikan calon daripada parti komponen PN menang dalam PRN.

Abqaree berharap pucuk pimpinan Bersatu dan parti-parti dalam keluarga PN akan mencapai kesepakatan dalam pengagihan kerusi dan DUN Darau akan diwakili oleh Bersatu.-pr/BÑN

Encik Abqaree Fawwaz Abekan