KOTA KINABALU: Tidak berbangkit soal Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang rendah keupayaan Sabah untuk membangunkan negeri sendiri, kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU Negeri, Fairuz Renddan.
Katanya, soal Presiden BERSATU tidak sensitif dengan keinginan rakyat Sabah juga tidak berbangkit sama sekali dan ianya adalah rekaan Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis semata-mata.
Beliau berkata, PM tidak pernah memandang rendah keupayaan Sabah untuk membangunkan negeri sendiri kerana Sabah mempunyai sumber asli yang begitu banyak dan hebat.
“Kerajaan Negeri berhak merancang dan melaksanakan apa jua program pembangunan untuk rakyatnya dan negeri Sabah menggunakan sumber yang ada.
“Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri merancang dan melaksanakan pembangunan untuk rakyatnya”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud yang membuat tuduhan tidak berasas kononnya PM memandang rendah keupayaan Sabah untuk membangunkan negeri sendiri.
Fairuz berkata, ianya merupakan perasaan dan imaginasi Isnaraissah Munirah sendiri dan bukan suara rakyat Sabah.
“Kenyataan Munirah itu juga jelas bahawa Warisan berasa semakin terancam dan hilang pengaruhnya terutama setelah BERSATU bertapak di Sabah.
“Kerajaan Persekutuan tidak pernah menghalang mana-mana Kerajaan Negeri menentukan hala tuju dan pembangunan negeri masing-masing termasuk Sabah kerana itu adalah hak kerajaan negeri tersebut “, tegasnya.
Menurutnya, tidak timbul soal halatuju dan pembangunan negeri ini dibelenggu parti-parti politik yang mentadbir kerajaan pusat.
“Ini kerana Sabah ditadbir oleh Kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) Plus. Sementara parti-parti politik yang mentadbir Kerajaan Persekutuan merupakan parti pembangkang di Sabah.
“Tambahan pula Munirah pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Persekutuan dan sudah tentu dia sendiri sedar akan kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Adakah ketika itu Kerajaan Negeri Sabah juga tidak bebas untuk menentukan halatuju dan pembangunan negeri dan dibelenggu oleh parti-parti politik yang mentadbir kerajaan pusat?”, soal Fairuz.
Katanya, PM juga tidak pernah menyatakan bahawa Sabah perlukan balas kasihan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan.
“Sebenarnya PM berasa kecewa dengan kerajaan Sabah kerana tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan pimpinannya. Katanya adalah lebih baik jika kerajaan negeri dapat bekerja sebagai satu pasukan dengan kerajaan Persekutuan”, tegas Fairuz.
Muhyiddin ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu lalu menegaskan, persefahaman antara negeri dan Persekutuan dapat memberi kesan besar dalam pelbagai aspek dan mahu mesej itu sampai kepada rakyat.
“Pelbagai peruntukan disalurkan kepada Sabah, malah dalam bidang sosioekonomi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) sahaja sejumlah RM22 bilion diperuntukkan.
“Begitu juga dalam bidang industri, pendidikan, pelancongan dan pertanian, sekali gus membuktikan Sabah tidak diabaikan.
“Cuma kita kecewa sikit kerajaan negeri Sabah tak sebaris dan sehaluan dengan saya. Bayangkan jika Sabah sehaluan, ini bukan politik tetapi realiti”, katanya.
Muhyiddin berkata, rakyat Sabah akan menikmati lebih banyak manfaat sekiranya kerajaan negeri dan Persekutuan dapat bekerja sebagai satu pasukan.
Sehubungan itu, Muhyiddin berharap rakyat memahami situasi berkenaan dan mahu mesej yang ingin disampaikannya diterima oleh rakyat negeri ini.-pr/BNN