KOTA KINABALU:. Presiden Warisan, Shafie Apdal, sepatutnya henti menabur fitnah dan dendamnya terhadap saya memandangkan saya tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri akan datang, sekali gus bukan lagi menjadi tentangan baginya.
Kita melihat banyak video dan papan iklan memaparkan wajah Shafie dengan cogan kata ‘membina negara’, ‘marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama’ dan ‘perpaduan’, tetapi ucapan kempennya dipenuhi dengan ‘hentam Musa Aman!’
Saya memahami perlunya beliau membuat ucapan politik yang berapi-api sepanjang berkempen, namun adalah memalukan bagi seorang pemimpin negeri berulang kali menyebarkan pembohongan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang individu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri.
Sebelum ini, saya sudah memfailkan saman RM1 bilion terhadap Yayasan Sabah termasuk Shafie kerana memfitnah.
Saya tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang kerana beliau tidak menghentikan pembohongan dan terus mencabar saya.
Saya berasa terpanggil membuat kenyataan ini untuk menjelaskan keadaan dan membersihkan nama saya daripada tuduhan yang dilemparkan oleh Presiden Warisan.
Kebelakangan ini, beliau membuat pelbagai fitnah, termasuk menuduh saya meluluskan kontrak Yayasan Sabah kepada beberapa individu tertentu.
Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan fitnah ini adalah percubaan memburukkan reputasi saya dan sekadar memenuhi agenda jahat.
Awalnya, Shafie menuduh saya terbabit dengan kehilangan tanah seluas antara 600,000 hingga 700,000 hektar milik Yayasan Sabah dan kononnya saya meluluskan ribuan ekar tanah kepada beberapa individu tertentu.
Sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Shafie sepatutnya tahu konsesi kawasan tanah yang dipegang Yayasan Sabah berada di bawah satu lesen dan adalah mustahil bagi kawasan seluas itu hilang atau diberi kepada mana-mana pihak.
Tanah di bawah Yayasan Sabah dilindungi oleh Enakmen Yayasan Sabah 1966 dan hak kekal. Ia hanya boleh dikeluarkan untuk kegunaan kerajaan dan bagi tujuan konservasi seperti Lembah Danum, Imbak Canyon, Maliau Basin, Hutan Simpan Nurod-Urod, Sapulot n sebagainya.
Shafie mungkin sengaja berlagak tidak tahu atau mengelirukan rakyat dengan fakta ini:
– sekurang-kurangnya 700,000 hektar tanah Yayasan Sabah dikategori di bawah Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA). Ia termasuk Tabin, Imbak, Maliau, Kretam, Danum, Kulamba, Tinker, Pesisir Silam, Kuamut dan sebagainya.
– hanya 250,000 hektar tanah Yayasan Sabah dilesenkan di bawah Peraturan Hutan.
Justeru, jelaslah Shafie berbohong kerana 700,000 hektar tanah Yayasan Sabah masih wujud dan tidak hilang seperti didakwa.
Walaupun individu terbabit secara terbuka menafikan tuduhan itu dan dilaporkan secara meluas oleh media perdana serta dalam talian, Shafie terus menyebarkan fitnah sedemikian.
Tidak berpuas hati dan berkeras mahu meneruskan misinya untuk memburukkan nama saya, Shafie kini menuduh saya meluluskan kontrak lesen Yayasan Sabah untuk mengurus dan membangunkan tanah Yayasan Sabah kepada individu sama.
Sekali lagi, sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, beliau tahu itu bukan prosedur meluluskan kontrak sedemikian. Ia bukan diluluskan oleh Ketua Menteri tetapi Lembaga Pemegang Amanah Yaysan Sabah.
Agak membimbangkan melihat Shafie dan penyokongnya menyasarkan komuniti tertentu, memainkan sentimen perkauman, sesuatu yang amat bertentangan dengan seruannya berkaitan kaum dan agama. Ini amat membahayakan dan bertentangan dengan norma masyarakat pelbagai kaum.
Nasihat saya kepada Shafie ialah, daripada terlalu memberi fokus kepada saya, dia sepatutnya memberitahu rakyat mengapa Warisan perlu menerajui Sabah dan mengapa dia patut dipilih untuk mengetuai kerajaan. Sebagai pemimpin, anda harus fokus kepada apa yang sudah dicapai dan apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat.
Apa yang sepatutnya menjadi agenda beliau ialah meningkatkan infrastruktur, ekonomi, menyediakan pekerjaan dan peluang perniagaan serta memastikan setiap rakyat mempunyai makanan di atas meja.
Serangan bertali arus terhadap ‘Musa Aman’ tidak akan membantu Shafie dan Warisan mencapai agenda ini.-
Tan Sri Musa Haji Aman,
Kota Kinabalu,
16 September, 2020.