BEAUFORT: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah merayu kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee agar dapat segera membatalkan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (PP) 1983 (Pindaan) 2019.

Pengerusinya Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, cadangan membatalkan Peraturan-Peraturan PP 1983 (Pindaan) 2019 yang diwartakan pada 22 April 2019 dan berkuatkuasa pada 1 Mei 2019 lepas telah diumumkan oleh Ronald pada bulan Ogos 2020.

Namun katanya, sehingga sekarang Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) masih belum mengeluarkan sebarang arahan berhubung pembatalan itu.

“PPN Sabah merayu kepada Ronald agar dapat mengarahkan Ketua Pengarah (KP) LPP supaya dapat mengeluarkan arahan pembatalan dan menarik balik
Peraturan-Peraturan PP 1983 (Pindaan) 2019 kepada Pengurus Besar PPN dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd.Nazri berkata, ahli-ahli PP seluruh negara sedang menantikan tindakan pihak pendaftar PP.

Katanya, semua PPN seluruh negara telah meluluskan usul membantah pelaksaan peraturan itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) masing-masing pada tahun lalu.

Sementara Menteri MAFI yang baru, Ronald telah mengambil tindakan memecat semua lantikan yang telah dibuat oleh Menteri ketika zaman Pakatan Harapan (PH).

Mohd.Nazri berkata, berikutan pemecatan 4 Ahli Jemaah Pengarah (AJP) lantikan menteri terdahulu, PPK kini hanya mempunyai 7 orang AJP, iaitu jumlahnya sama dengan korum iaitu 7 orang.

“Kekangan dan masalah yang dihadapi oleh PPK sekarang ialah mesyuarat AJP PPK hanya dapat diadakan sekiranya ketujuh AJP dapat hadir.

“Sekiranya salah seorang AJP jatuh sakit atau ada urusan lain, maka mesyuarat AJP PPK terpaksa ditunda. Andai kata salah seorang AJP menghidap penyakit kronik yang serius, maka ini menimbulkan masalah kepada PPK sekiranya ada perkara penting yang perlu diluluskan segera”, jelasnya.

*Katanya, sehingga kini banyak PPK telah menunda mesyuarat AJP dan ada yang langsung tidak dapat mengadakan mesyuarat disebabkan tidak cukup Kourum.

*”Difahamkan MAFI akan membuat penambah baikan dalam peraturan tersebut. Itu bukan masalah, namun MAFI perlu menarik balik atau membatalkan terlebih dahulu Peraturan-Peraturan PP 2019 yang menyusakan PPK untuk bermesyuarat dan membenarkan PPK menggunakan peraturan lama”, tegasnya.

Justeru katanya, penarikan balik dan pembatalan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (PP) 1983 (Pindaan) 2019 amat penting bagi mengatasi kekangan yang dihadapi oleh PPK.

Ronald telah mengumumkan pembatalan peraturan itu pada Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Menara LPP, Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2020.

Katanya, pemberian kuasa kepada menteri untuk melantik AJP Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), PPN dan PPK kini dalam proses pindaan bagi maksud pembatalan.

Katanya, ia sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan peranan PP di bawah Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 (Pindaan) 2019.

“Saya berpendapat bahawa kuasa memilih kepimpinan hendaklah dikembalikan kepada ahli peladang sendiri.

“Pindaan ini akan dikuatkuasakan pada tahun pemilihan yang akan datang iaitu pada tahun 2021 yang mana mengembalikan  kuasa memilih kepimpinan peladang diserahkan kembali  kepada ahli peladang sendiri seperti mana peraturan yang terdahulu,” tegas Ronald.-pr/BNN