KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 556 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 22,323 kes. Hari ini satu (1) kes kematian dicatatkan iaitu di Daerah Tuaran. Takziah kepada keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 447 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai2,472 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 663 orang di hospital dan 1,809 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 66 orang dan 24 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, terdapat dua (2) kluster baharu di Daerah Sandakan iaitu: (i) Kluster Jambatan B sebanyak 30 kes; dan (ii) Kluster Bonggaya sebanyak 46 kes. Daripada 556 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 199 kes (35.79%) adalah dari Daerah Tawau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Sandakan yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 357 kes adalah dari lain-lain kategori. Daerah Sandakan merekodkan kes tertinggi sebanyak 223 kes. Daripada jumlah ini, 87 kes adalah daripada saringan kontak rapat. Manakala, 33 kes daripada Kluster Bonggaya, 31 kes Kluster Karamunting, 18 kes Kluster Jambatan 2, 17 kes Kluster Mesra, 16 kes Kluster Samudera, tiga (3) kes Kluster Penjara,
dua (2) kes Kluster Tinusa, satu (1) kes saringan komuniti, enam (6) daripada saringan bergejala, satu (1) kes Sign Off dan lapan (8) kes daripada saringan sebelum bekerja.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,010 katil. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 5,513 katil menjadikan jumlah keseluruhan 6,523 katil. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 37.9%.

PENGURUSAN SUMBANGAN DAN BANTUAN DARIPADA BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO), SYARIKAT SWASTA, PEMIMPIN MASYARAKAT DAN ORANG PERSENDIRIAN

Kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan daripada semua NGO, syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan media semalam. Namun demikian, setelah dinilai semula Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah hari ini memutuskan semua NGO, syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian yang ingin membuat
sumbangan untuk terus berhubung dengan Pegawai Kebajikan di daerah tersebut.

Bagaimanapun, bagi penyumbang dari luar Negeri Sabah yang bukan berasal dari Sabah WAJIB mendapatkan Kelulusan Khas Masuk Ke Negeri Sabah sebelum memasuki negeri ini. Semua kemasukan ke Negeri Sabah hendaklah mematuhi SOP lain yang sedang berkuatkuasa. Sila layari laman sesawang https://hednp.sabah.gov.my/ untuk memohon Kelulusan Khas tersebut

OPERASI PENGURUSAN NIKAH, CERAI DAN RUJUK (NCR) NEGERI SABAH

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) membenarkan urusan nikah, cerai dan rujuk (NCR) tiga hari seminggu di semua pejabatnya berkuat kuasa 16 Nov hingga 12 Dis ini atau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti di Lampiran A.

PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) SEKTOR SUKAN DAN REKREASI
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah hari ini memutuskan hanya aktiviti sukan yang TIDAK BERSENTUHAN FIZIKAL sahaja dibenarkan secara individu atau kumpulan yang tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa. Butiran jenis sukan dan SOP yang perlu dipatuhi.

PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PEMBUKAAN SEMULA TASKA BERDAFTAR

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah hari ini juga membenarkan pembukaan semula operasi taska yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Am Sabah (Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia Negeri Sabah). Tata cara operasi taska perlulah mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar berjalan lancar. Sehingga hari ini, sebanyak 164,591 bakul makanan telah diagihkan.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 72 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 55,063 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 232 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 31 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 94 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.63%.

Tiga Daerah mencatatkan kadar pematuhan yang tinggi iaitu Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kota Kinabalu (99%). Manakala tiga daerah yang mencatatkan kadar pematuhan yang terendah ialah Semporna (95%), Kota Belud (96%), dan Ranau (96%).
Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 18 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 20 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di tujuh (7) premis di lima (5) buah daerah iaitu Semporna, Kota Kinabalu, Penampang, Kinabatangan dan Tawau.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 121 lokasi di 17 buah daerah. Hebahan dibuat dalam empat (4) bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Kadazan dan Bahasa Bajau.
Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

Sekian.

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
13 November 2020