KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 387 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 24,269 kes. Hari ini dua (2) kes kematian dicatatkan di Daerah Sandakan. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 237 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai 2,000 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 634 orang di hospital dan 1,366 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 66 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, terdapat tiga (3) kluster baharu dilaporkan iaitu:
(i) Kluster Sabaru di Daerah Lahad Datu mencatatkan sebanyak 70 kes;
(ii) Kluster Garden di Daerah Tawau tiga (3) kes; dan
(iii) Kluster Tomher di Daerah Ranau 12 kes.

Daripada 387 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 205 kes (52.97%) adalah berpunca dari Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau (135 kes) dan Kluster Sabaru (70 kes) di Daerah Lahad Datu.

Daerah Tawau mencatatkan kes tertinggi pada hari ini. Daripada 169 kes yang direkodkan, sebanyak 135 kes adalah daripada Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, 12 kes Kluster GK, Kluster Garden (3 kes) dan Kluster Tanamera (1 kes). Manakala saringan kontak rapat (7 kes), saringan bergejala (5 kes), saringan kendiri (3 kes), dan masing-masing satu (1) kes daripada saringan kemasukan hospital, saringan pengiring dan saringan pembedahan.

Manakala Daerah Lahad Datu pula, mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 80 kes. Daripada jumlah ini, Kluster Sabaru (70 kes), saringan bergejala (3 kes), saringan kontak rapat (2 kes), saringan komuniti (2 kes) dan masing-masing satu (1) kes daripada saringan petugas kesihatan, saringan tempat kerja dan saringan Brought In Dead (BID).

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 990 katil. Sementara, bilangan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 5,368 katil. Ia menjadikan jumlah keseluruhan katil pada hari ini adalah sebanyak 6,358 katil dengan peratus penggunaan 31.46%.

PELANJUTAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI PUSAT TAHANAN SEMENTARA (PTS) TAWAU, PENJARA SANDAKAN DAN KUARTERS PENJARA TAMAN WIRA, SANDAKAN

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan berkuat kuasa pada 6 November 2020 dan dijadual berakhir esok, 19 November 2020.

Bagi Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, KKM telah melaksanakan sebanyak 1,740 saringan dan sehingga 17 November 2020 masih terdapat 137 kes aktif direkodkan manakala 924 sampel saringan lagi masih menunggu keputusan.

Bagi Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan, KKM telah membuat sebanyak 1,743 saringan dan sehingga 17 November 2020 masih terdapat 141 kes aktif direkodkan manakala 203 sampel saringan lagi masih menunggu keputusan.

Secara keseluruhannya, jumlah kes aktif dan bilangan sampel saringan yang belum mendapat keputusan bagi lokaliti-lokaliti ini masih lagi tinggi. Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan selama 14 hari lagi bermula 20 November 2020 hingga 3 Disember 2020.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI KG. NAHABA DAN KG. TEGUDON, KOTA BELUD

Sidang Khas MKN hari ini mendengar pembentangan daripada MKN Sabah mengenai peningkatan kes positif COVID-19 di Kg. Nahaba dan Kg. Tegudon, Kota Belud, Sabah.
Sehingga 17 November 2020, sebanyak 36 kes positif COVID-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti.

Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg. Nahaba dan Kg. Tegudon, Kota Belud, Sabah bermula 20 November 2020 sehingga 3 Disember 2020. Pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan sebanyak 1,740 penduduk di kedua-dua
lokaliti ini.

SOP PKPD di Sabah adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan kedai runcit di kawasan PKPD dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang.

Seorang wakil dari setiap rumah turut dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran PDRM khusus untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM / bank dan membeli keperluan asas dan non-food items.

Pasar juga dibenarkan beroperasi di kawasan PKPD sebanyak 2 kali seminggu dari jam 6.00 pagi sehingga 2.00 petang.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)
Sehingga hari ini, sebanyak 190,951 bakul makanan telah diagihkan kepada
golongan sasar.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN
SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 71 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 55,560 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 158 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 29 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 84 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.88%.

Tiga daerah mencatatkan kadar pematuhan yang tinggi ialah Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kota Belud (99%). Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 21 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 15 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di 14 premis di tujuh (7) buah daerah iaitu Tawau, Kinabatangan, Semporna, Kota Kinabalu, Sandakan, Beluran dan Lahad Datu. Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai
pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 114 lokasi di 20 buah daerah. Hebahan dibuat dalam empat (4) bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Kadazan dan Bahasa Bajau.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan
rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian. Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
18 November 2020