PULAU BORNEO: Para perwakilan ke Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke 47, tahun 2020 tidak bersetuju kaedah mesyuarat dibuat secara “hybrid” dan atas talian.
Perwakilan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Tan Sri Wences Angang, Datuk Ng Loi Tect, Datuk Jaimin Samitah dari Sabah, Encik Engga Ak Unchat, Encik Jimbat Ak Bang serta Encik Osman Bin Keri dari Sarawak, Tuan Haji Mohd Yussof Bin Chuchu dan Encik Nordin Bin Hj Mohd Isa dari WP Labuan berkata, kaedah mesyuarat itu tidak sesuai dan perwakilan mahu ianya diadakan secara bersemuka.
Mereka berkata, para perwakilan membantah sekeras-kerasnya cadangan itu dan mereka tiada halangan untuk menghadiri MAT sekiranya ianya diadakan di Kuala Lumpur.
“Sekiranya Parlimen dibenarkan bersidang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibenarkan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan, maka tiada sebab MAT Nafas perlu diadakan secara hybrid atau atas talian”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mereka mengulas keputusan Dr Anis Mahmud Pengerusi NAFAS dan Ahli Jemaah Pengarah Nafas untuk mengadakan MAT pertubuhan itu secara hybrid dan atas talian (online) setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan berikutan situasi semasa berkaitan wabak COVID-19 yang membimbangkan.
MAT Nafas ke 47 dijadualkan diadakan pada 22 Disember 2020, jam 8.00 pagi secara hybrid dan atas talian “online” (pindaan).
Mereka berkata, Ahli Jemaah Pengarah Nafas wajar menimbang semula cadangan itu berikutan bantahan daripada para perwakilan.
“MAT Nafas boleh diadakan secara kaedah bersemuka, yang penting para perwakilan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa”, tegasnya.
MAT Nafas Jika tidak dapat diadakan dalam bulan Desember 2020, ianya boleh dibuat pada bulan Januari atau Februari tahun 2021.
Sebelum ini Nafas pernah mengadakan MAT bagi tahun 2019 pada awal tahun 2020 iaitu 25 Februari 2020.-pr/BNN