KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 333 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 32,828 kes. Tiada kes kematian dicatatkan.

Pada hari ini, seramai 245 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 29,449 orang. Sejumlah 1,904 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 629 orang di hospital dan 1,275 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 62 orang dan 19 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, tiada kluster baharu dilaporkan.

Jumlah kes yang tinggi hari ini berpunca dari saringan kluster-kluster sedia ada iaitu sebanyak 12 kluster yang mencatatkan 166 kes. Kluster yang merekodkan jumlah tertinggi ialah Kluster Rumah Merah 78 kes.

Daripada 333 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 166 kes (49.9%) adalah berpunca dari saringan kluster-kluster sedia ada, 104 kes (31.2%) dari saringan kontak rapat di 13 daerah, saringan bergejala 42 kes (12.6%), saringan komuniti 2 kes (0.6%) dan 19 kes (5.7%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,029 unit. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,566 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,595 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 28.87%.

Kebelakangan ini, didapati semakin banyak kluster-kluster yang terbentuk daripada majlis sosial yang tidak mengikut SOP. Ini termasuklah majlis sosial melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan.
Masyarakat dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada SOP yang telah ditetapkan. Aktiviti majlis sosial tanpa mematuhi SOP akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 kepada orang ramai. Justeru, adalah amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling daripada mendapat jangkitan COVID-19.

Penularan virus ini boleh dielakkan dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal yang selamat, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer serta pemakaian alat pelitup muka. Orang ramai digesa supaya tetap patuh kepada SOP dalam semua keadaan dan tempat. Biasakan yang betul, dan betulkan yang biasa.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kg. Numbak dan Penempatan Telipok bermula 16 November 2020 yang kemudiannya dilanjutkan lagi dan dijadualkan tamat pada hari ini, 13 Disember 2020.

Sehingga 10 Disember 2020, KKM telah melaksanakan sebanyak 6,776 ujian saringan di kedua-dua lokaliti ini dan sebanyak 175 kes kumulatif positif COVID telah direkodkan di Kg. Numbak dan 224 kes di Penempatan Telipok.

Walau bagaimanapun, sehingga kini KKM mengesahkan jumlah kes aktif di kedua-dua lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal. Atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kg. Numbak dan Penempatan Telipok pada hari ini 13 Disember 2020 seperti yang dijadualkan. Namun demikian, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Negeri Sabah yang sedang
berkuat kuasa

Sehingga hari ini, sebanyak 296,160 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 239 buah kenderaan yang sedia digunakan bagi tujuan bantuan logistik COVID-19.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 28 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19, manakala 22 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran. Baki 189 kenderaan pelbagai jenis bersedia digerakkan jika perlu.

Orang ramai dinasihatkan agar TIDAK KELUAR RUMAH jika tiada keperluan atau urusan penting serta terus patuhi segala arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam membendung penularan pandemik ini.

Pihak PDRM juga akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar pada SOP yang sedang berkuat kuasa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi awam di empat (4) premis di empat (4) buah daerah iaitu Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan dan Tawau.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Malaysia Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 41 lokasi di empat (4) daerah. Hebahan dibuat dalam empat (4) bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Dusun, Bahasa Iranun dan Bahasa Bajau.

Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19. Bersama-sama kita putuskan rantaian COVID-19 dengan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian demi kesejahteraan diri, keluarga serta masyarakat.

#kitajagakita #normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
13 Disember 2020