KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang berkata kadar pengangguran dalam negeri bagi tahun semasa 2020 dan tahun sebelumnya, 2019 adalah amat membimbangkan dan Jabatan Perangkaan Malaysia turut menjangkakan bahawa kadar itu akan semakin meningkat berikutan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Katanya, kemerosotan ekonomi yang semakin buruk berikutan pandemik Covid-19 telah membawa kepada pertambahan belia dan beliawanis yang menganggur di Sabah.

“Mereka tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi berbanding mereka yang sudah lama bekerja, maka mereka lah golongan yang paling terjejas dan adalah wajar untuk mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Untuk itu, pelan proaktif perlu diambil untuk menangani masalah pengangguran dalam kalangan belia di Sabah, selain daripada memfokuskan kepada usaha-usaha menyediakan peluang pekerjaan bagi belia dan beliawanis di kawasan bandar, luar Bandar dan persisiran laut dengan membuka industri dan sektor ekonomi yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Belanjawan Negeri Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini pada Isnin.

Menurut Rubin lagi, penglibatan belia dan beliawanis dalam bidang keusahawanan melalui pertanian moden dilihat mampu menjadi satu aspek yang mampu menjana ekonomi sekaligus meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti hasil pertanian.

“Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberikan bantuan insentif sama ada dalam bentuk geran, pinjaman, subsidi dan latihan kepada belia dan beliawanis sebagai satu tarikan dan dorongan bagi menceburi bidang pertanian moden dan mampu dikomersialkan.

“Bagi mereka yang tidak menceburi bidang pertanian pula, pihak Kerajaan boleh menyediakan peluang prasarana pekerjaan dengan mewujudkan sektor perindustrian dan pembuatan seperti automotif di kawasan pedalaman agar kita dapat menyeimbangkan agihan aktiviti ekonomi antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Jelas Rubin, Kerajaan juga boleh menyediakan akses perhubungan Internet berkelajuan tinggi di seluruh kawasan pedalaman dan memberikan insentif bantuan khas (one-off), geran dan kemudahan pinjaman mikro kepada belia dan beliawanis dengan kadar faedah rendah bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Rubin juga meminta agar Kerajaan mengeluarkan kawasan tanah-tanah orang kampung yang terkandung dalam konsesi Sabah Forest Industry (SFI) dengan segera sebelum syarikat tertentu mengambil alih konsesi tersebut demi masa depan dan keselesaan rakyat dan konsesi balak.

“Kerajaan boleh mengambil tindakan yang tuntas untuk menyelesaikan masalah pertikaian kawasan tanah-tanah diantara penduduk kampung setempat hasil peninggalan nenek moyang dengan SFI yang telah ditubuhkan pada tahun 1982, yang mana telah menimbulkan pelbagai persengketaan diantara rakyat dan SFI sejak sekian lama.

“Tanah berkeluasan 720,000 ekar telah diambil alih di daerah kecil Kemabong, Tenom dan Sipitang, serta membina kilang yang dipanggil Pulp & Paper Mill yang mana ia adalah hasil daripada tanah yang diambil alih, dan telah menjadi punca kepada masyarakat Murut dan Lundayeh kehilangan peninggalan warisan nenek moyang mereka,” katanya.

Antara kampung yang terletak dalam kawasan SFI adalah 12 buah kampung di daerah Kemabong, tiga buah kampung di daerah Tenom dan 14 buah kampung di daerah Sipitang.

Selain itu, Rubin juga memberitahu bahawa penduduk-penduduk di kawasan terlibat sudah bermastautin di situ sejak tahun 1950an dan mereka mempunyai perkampungan, sekolah, tanaman pertanian dan 95 peratus dari pada penduduk di kawasan itu juga terlibat dalam aktiviti pertanian dan bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka.-pr/BNN