KOTA KINABALU: Projek Naik Taraf Jalan Kemabong-Rundum, Tenom telah diluluskan dalam Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang.
Katanya, projek itu akan dibiayai oleh Kerajaan Persektuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
“Status bagi Projek ini diperingkat muktamad reka bentuk akhir dan dijangka akan di tender pada Mac 2021 dengan tempoh pembinaan selama 30 bulan.
“Ini telah dimaklumkan kepada saya oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam jawapan bertulis keatas soalan saya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah”, katanya.
Mengenai masalah air di daerah Kemabong, Rubin berkata beliau dimaklumkan oleh Bung, Jabatan Air Sabah telahpun merancang untuk melaksanakan beberapa projek jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah itu.
Bagi penyelesaian jangka pendek katanya, Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah Sistem Retikulasi Tahun 2018/2019 Negeri Sabah Bahagian Keningau yang melibatkan pemasangan paip air baharu dan sistem pam penggerak ke Skim Ulu Kuala Tomani, Kampung Kaliwata, Kampung Manas dan Kampung Abul Bangkulin sedang dalam peringkat rekabentuk terperinci dan dijangka mula dilaksanakan pada tahun 2021.
Rubin berkata, beberapa projek seperti Projek Pemasangan Paip di Kampung Maugus dan Kampung Anglor, Kemambong, Projek Pemasangan Paip dan Booster Pump di Kampung Mensasoh, Kemabong, Projek Pembinaan Sistem Bekalan Air MESEJ Kampung Ungga, Kemabong dan Projek Pemasangan Paip dan Pam Penggerak di Kampung Ponontomon, Kemabong telahpun disenaraikan bagi pertimbangan kelulusan oleh pihak KPLB Malaysia dibawah PBALB, BALB bagi RMK ke 12 (2021-2025).
“Pada masa yang sama beberapa kerja pembaikan dan peningkatan kecekapan operasi Loji Rawatan Air Kemabong akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan air yang konsisten dan stabil”, jelasnya
Rubin berkata, bagi perancangan jangka panjang pula projek cadangan Menaiktaraf Loji Rawatan Air Kemabong turut disenaraikan di bawah RMK ke 12 bagi pertimbangan kelulusan untuk pelaksanaan bagi meningkatkan kapasiti keupayaan pengeluaran air loji rawatan air tersebut.
Mengenai Projek Pembinaan Jambatan Sungai Padas di Tenom, Rubin berkata, Bung telah memaklumnya bahawa projek itu telah dimulakan pada Jun 2020.
“Bagaimanapun kerja-kerja fizikal di tapak tidak dapat dimulakan dengan lancar disebabkan isu pengambilan tanah dan kerja-kerja pembinaan akan diteruskan semula setelah isu pengambilan tanah selesai dalam masa terdekat”, katanya.
Selain itu, Rubin juga memberitahu bahawa jalan penghubung diantara Jalan Gumisi dan Jalan Inubai akan dikaji dan dicadangkan dalam Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia ke-12 di bawah JALB, juga dengan dana dibiayai oleh Kerajaan Persektuan sekaligus usaha untuk memastikan jalan-jalan kampung di seluruh negeri.
“Untuk pengetahuan, Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa berusaha dalam melakukan pemeriksaan dan pengawasan berterusan dilaksanakan sepanjang Sungai Tenom- Kuala Tomani yang terdedah kepada ancaman hakisan Sungai Padas bagi menilai risiko tanah runtuh di kawasan tersebut.
“Sehingga kini, pernilaian risiko menunjukkan bahawa tahap ancaman masih lgi rendah dan tidak mendatangkan risiko kepada kepada aset jalan raya ini,” katanya.
Tambah Rubin lagi, beliau juga diberitahu bahawa JKR Sabah sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap keadaan semasa di jajaran itu dan secara berterusan akan membuat pernilaian risiko di sepanjang jajaran.
“Sekiranya terdapat ancaman ke atas jalan raya yang diakibatkan oleh hakisan, maka kerja-kerja pembaikan atau pengukuhan tambahan jalan raya akan dilaksanakan,” katanya.-pr/BNN