KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Yayasan Prihatin SPRM menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada pengamal media khususnya wartawan yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, pihak media sentiasa membantu SPRM dalam menyebarluaskan mesej-mesej pencegahan rasuah.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan bantuan pihak media kepada SPRM Sabah selama ini.

Pihaknya sedar banyak agensi media berdepan dengan kesukaran akibat penularan wabak COVID-19.

Katanya, ada dalam kalangan pengamal media terpaksa diberhentikan kerja berikutan penutupan organisasi media selain ada yang dipotong gaji.

“Justeru, pemberian sumbangan bakul makanan ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Prihatin SPRM dalam membantu golongan yang memerlukan terutama sepanjang pandemik COVID-19.

“Selain itu, SPRM turut menyampaikan bantuan di peringkat cawangan termasuk Sandakan, Lahad Datu, Tawau, dan Keningau dengan memilih keluarga yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan bakul makanan kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) di sini hari ini.

Karuna berkata, SPRM sentiasa menjalin kerjasama erat bersama pihak media khususnya SJA dan Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA).

“Kita perlu bina satu hubungan rapat untuk memastikan objektif membanteras rasuah diteruskan.

“Tahun lepas kita sepatutnya merancang untuk mengadakan program penghargaan kepada media. Namun disebabkan pandemik COVID-19, program berkenaan tidak dapat diteruskan.

“Menerusi penyampaian sumbangan ini, sekurang-kurangnya SPRM Sabah dapat melaksanakan satu program melibatkan media,” katanya.

Sementara itu, Presiden SJA, Datuk Muguntan Vanar berkata, bagi pihak SJA, sumbangan seperti itu amat dihargai terutama kepada rakan wartawan yang terjejas dengan COVID-19.

Menurutnya, sebilangan besar wartawan terpaksa ‘mengikat perut’ kerana pihak syarikat perlu mengurangkan kos termasuklah melakukan pemberhentian atau pemotongan gaji kerana penurunan pendapatan dan pengurangan cetakan surat khabar.

“Masalah yang dihadapi media sekarang ini berlaku sejak beberapa tahun lepas kerana pelbagai cabaran yang timbul terutamanya dari platform media sosial.

“Penularan pandemik COVID-19 turut memberi kesan buruk terhadap media arus perdana yang berusaha sebaik mungkin untuk menyusun semula model perniagaan agar sesuai dengan cabaran media baharu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau amat berterima kasih kepada usaha yang dijalankan SPRM yang mempertimbangkan golongan pengamal media sebagai sebahagian daripada program CSR SPRM.

Seramai 22 orang wakil dari SJA dan KKJA menerima sumbangan bakul makanan Yayasan Prihatin SPRM.

Turut hadir, Timbalan Pengarah SPRM Sabah (Pencegahan), Awang Samsul Baharam Bungso dan Pengerusi KKJA Yong Ted Phen.-pr/BNN

Karuna (dua dari kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang wakil penerima yang juga Ahli SJA Raphiel Pinus (dua dari kiri). Turut kelihatan di gambar Muguntan (paling kiri) dan Awang Samsul ( paling kanan).