SIPITANG: Unit Pemimpin Pembangunan Rakyat (UPPM) N.35 Sindumin telah menyerahkan kerusi roda kepada 4 penerima yang memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin.

Kerusi roda itu disumbangkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) (Persekutuan), telah diserahkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sindumin, Encik Sani Miasin.

Para penerima bantuan kerusi roda itu terdiri daripada warga emas (uzur) dari Kampung Mesapol Lama, Kampung Kalamauh dan Kampung Pisukau.

Menurut Sani, bantuan kerusi roda itu diberikan kepada golongan yang betul-betul memerlukan terutama warga emas yang sakit dan uzur.

Katanya, keperluan bantuan kerusi roda telah disuarakan kepada Timbalan Pengarah JKM (Persekutuan) Puan Dayang Rugayah Ag Besar semasa melawat pejabat UPPM Sindumin.

“Kami mengucap terima kasih kepada Dayang Rugayah dan JKM kerana menyumbang kerusi roda bagi membantu meringan beban keluarga yang terlibat”, katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sendiri bantuan itu.

Sani berkata, dia dan UPPM Sindumin akan berusaha sedaya upaya yang termampu untuk membantu masyarakat yang amat memerlukan pembelaan, memandangkan DUN Sindumin kini diwakili oleh Wakil Rakyat parti pembangkang.

Katanya, UPPM sebuah agensi dibawah Jabatan Ketua Menteri, komited membantu, memudahcara, menyelaras, dan mengangkat masalah-masalah rakyat dalam DUN Sindumin kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan setempat dan negeri.

“UPPM Sindumin juga mendokong dan menyertai secara aktif dalam program pembangunan kerajaan bagi memastikan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili Wakil Rakyat pembangkang tidak terpinggir”, tegasnya.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan itu ialah Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO), Encik William Kapong, Penyelia Kemajuan Masyarakat (PKM), Cik Dayang Nor Syafiqah Abdul Hamid dan pemimpin masyarakat setempat.-pr/BNN

Bantuan….Sani (tengah), William (dua dari kiri) dan kakitangan UPPM bersama salah seorang penerima bantuan kerusi rosa di Kg Pisalau..