KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan menasihatkan orang ramai untuk mematuhi SOP dan keluar rumah hanya apabila perlu.

“Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mencegah penyebaran COVID-19 sehingga rakyat dapat kembali ke kehidupan normal mereka.

“Kita semua berhasrat untuk menghidupkan kembali ekonomi Sabah, tetapi kita hanya dapat melakukannya jika kita yakin rakyat selamat,” katanya.

Beliau meminta rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan, menjaga disiplin dan mengawal diri serta mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kitingan berkata demikian setelah mengedarkan bakul makanan dan barang keperluan lain kepada penduduk kampung di Kg Durok. Kampung tersebut diletakkan di bawah PKPD mulai hari ini setelah merekodkan 68 kes positif Covid-19.

Adun Liawan, Datuk Annuar Ayub juga turut hadir.

Kata beliau lagi, kerajaan melalui Pejabat Daerah Keningau, akan melaksanakan program Bantuan Prihatin Covid-19 dan akan terus menerus memberikan bantuan makanan untuk 75 keluarga yang terjejas di kampung tersebut.

Ahli Parlimen Keningau itu menyatakan kebimbangan terhadap jumlah kes di Sabah, terutama di Keningau, yang tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.

“Tidak dinafikan bahawa penutupan penuh sector sosial dan ekonomi, yang akan bermula pada hari Selasa, akan memberi kesan teruk terhadap ekonomi. Walau bagaimanapun, ianya perlu bagi memutuskan rantaian.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menyokong dan memberi bantuan kepada rakyat melalui pejabat-pejabat daerah,” katanya.

Pada masa yang sama, Kitingan menggesa rakyat Sabah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Pada masa ini, beliau berkata kadar pendaftaran vaksin di Sabah terlalu rendah.

“Ketua kampung dan MPKK dapat memainkan peranan dalam mendaftarkan mereka yang berada di bawah jagaan mereka yang tidak tahu bagaimana melakukannya sendiri.

“Kita harus mencapai imuniti kawanan secepat mungkin,” katanya.-pr/BNN

Kitingan dan Annuar menyerahkan bantuan makanan kepada keluarga yang terjejas di Kg Durok, Keningau