KOTA KINABALU : Merujuk kepada kejadian “Troli” di sebuah pasar raya di Keningau baru-baru ini, Timbalan Presiden StarSabah, Tuan Jalumin Bayogoh berkata ada pihak yang telah mengambil kesempatan mensensasikan perkara ini.

Pasar raya tersebut yang menjual daging babi tanpa membuat pengasingan troli bagi kegunaan pengguna telah menjadi viral di media sosial seterusnya mengundang pelbagai komen dari netizen.

Justeru itu, adalah “normal” dan tidak pelik sekiranya ada Pemimpin Islam yang bersuara. Kenyataan YB Dr Aliakbar Gulasan, dari Parti PAS adalah tertib dan tidak berunsur menghasut rakyat.
Beliau hanya menasihati agar semua pihak memelihara sensitiviti pelbagai agama yang ada di Sabah.

Rakyat Sabah, yang sememangnya faham akan kepelbagaian agama dan budaya ini seharusnya mendengar saranan ini dengan hati yang terbuka demi perpaduan dan keharmonian sesama kita.

“Janganlah menjadikan perkara berkaitan agama ini sebagai modal berpolitik.
Beliau menambah bahawa tindakan Yb Dr Aliakbar membuat laporan polis terhadap blog Ini Sabah bah adalah tepat kerana ini bukanlah pertama kali blog itu menyampaikan berita berbaur fitnah dan hasutan.”

Sepengetahuan beliau, isu troli di supermarket itu sudahpun selesai dengan baik atas kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEANS), Majlis Daerah Keningau dan pihak pasar raya tersebut.

“Jadi, marilah kita bersama akhiri isu ini dengan baik.
Bersama kita memelihara keharmonian dalam masyarakat kita yang bukan sahaja berbilang kaum tetapi juga berbagai agama.”-pr/BNN