KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan penghantaran bekalan vaksin COVID-19 ke Sabah.

“Kita telah membuka sebanyak 151 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Sabah dan menggerakkan program jangkauan ke pedalaman, tetapi malangnya bekalan vaksin agak perlahan,” katanya. Kekurangan bekalan vaksin ini turut memberi kesan kepada Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), yang mana sepatutnya
bermula pada bulan ini. Untuk tujuan itu, Hajiji berharap bekalan vaksin ini akan sampai ke Sabah secepat mungkin seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu mencapai sasaran 30,000 orang akan menerima vaksin setiap hari mulai bulan ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Sebelum ini, dalam pertemuan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Sabah, Ketua Menteri berkata banyak yang telah dilakukan di lapangan untuk memastikan lebih ramai orang yang diberi vaksinasi bagi menyekat penularan pandemik COVID-19.

MICCI yang diketuai oleh pengerusinya, Datuk Seri Wong Khen Thau, membincangkan kesan pandemik itu ke atas ekonomi selain membangkitkan pelbagai isu yang berkaitan termasuk untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menangani perkara ini.

Ini termasuklah antara lainnya pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat di negeri ini, menubuhkan cawangan Sabah (Sabah desks) di kawasan strategik seperti China dan Eropah untuk menarik pelabur ke Sabah.

MICCI sebagai organisasi yang tertua di negara ini memiliki jaringan dan rangkaian antarabangsa yang luas, yang mana akan menjadikannya lebih stabil untuk melengkapkan agenda pelaburan kerajaan negeri, katanya.-pr/BNN