KOTA KINABALU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mula beroperasi pada 14 Jun lalu, telah membantu memberi vaksinasi kepada 13,729 orang setakat hari ini, yang membabitkan kakitangan dan pelajar universiti itu serta orang awam di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata usaha yang diambil UMS itu telah membantu kerajaan negeri untuk terus meningkatkan jumlah penerima vaksin di negeri ini sekali gus mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

“Saya dimaklumkan bahawa mulai minggu depan, kapasiti pemberian vaksin oleh PPV UMS adalah sebanyak 3,000 dos sehari berbanding hanya 1,000 dos sehari pada masa sekarang.

“Ini juga sudah pasti akan membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok apabila 2.7 juta penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV IPT UMS, di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin.

Bilangan petugas di PPV IPT UMS adalah seramai 177 orang yang antaranya membabitkan petugas klinikal (doktor dan jururawat), sukarelawan kakitangan, sukarelawan pelajar, bahagian keselamatan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sukarelawan MyVac atau Malaysia Vaccine Support Volunteers.

Sementara itu, Ketua Menteri berharap Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan akan membekalkan jumlah vaksin yang lebih banyak ke negeri ini, bagi mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk akan menerima vaksin menjelang bulan Oktober ini.

“Kita memang mahu mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin dan berharap kerajaan dapat berbuat demikian. Justeru, kita berharap kerajaan Persekutuan dapat membekalkan vaksin ke negeri ini dengan lebih banyak kerana Sabah antara yang terendah dan kita tidak menerima banyak (bekalan vaksin) daripada kerajaan,” katanya.

Hajiji bagaimanapun berkata kerajaan akan mula menghantar vaksin ke Sabah mulai minggu ini dan kelewatan itu juga berpunca daripada pembekal yang lambat sampai ke negara ini.

“Memang ada sedikit kelewatan tetapi Kementerian Kesihatan sudah menjadualkan semula penghantaran vaksin ke negeri ini,” katanya.

Ketua Menteri turut merakamkan tahniah dan terima kasih kepada UMS terutama Naib Canselornya kerana menyediakan PPV kepada kakitangan dan pelajar universiti serta awam untuk menerima vaksin.

Sempena lawatan itu, Ketua Menteri turut mendengar taklimat daripada Naib Canselor UMS berkaitan perkembangan Hospital UMS (HUMS) yang dijadualkan siap menjelang akhir tahun depan.

Apabila siap kelak, HUMS akan menjadi hospital pengajar yang dilengkapi kemudahan terkini dan moden yang boleh memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah.-pr/BNN

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bertanya khabar kepada salah seorang penerima vaksin di PPV IPT UMS, di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, di UMS di Kota Kinabalu, pada Khamis