SURAT RAYUAN….Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Negeri, Encik Fairuz Renddan (tiga dari kanan) menerima surat rayuan daripada Pengerusi Persatuan Borneo Wedding Photographer & Videographer Community (BWPC), Encik Mohd. Danial Ramadhan semasa menerima kunjungan hormat rombongan BWPC di pejabatnya Kementerian Kewangan Negeri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, pada Jumaat.
BWPC merayu kepada Kerajaan agar  membenarkan pengusaha perkhidmatan fotografi dan videografi yang mengkhusus untuk majlis perkahwinan dan sektor korporat beroperasi semula.
Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, beliau akan membawa permohonan dan rayuan  daripada BWPC kepada pengetahuan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan pihak berwajib.
Menurutnya, banyak sektor ekonomi dan perkhidmatan masih belum dibenarkan beroperasi berikutan negeri dan negara belum mencapai imuniti kelompok.
“Kerajaan kini berusaha meningkatkan pengurusan dalam mengendalikan suntikan vaksin kepada orang ramai termasuk di kawasan luar bandar Sabah.
“Dengan vaksinasi dilaksanakan secepat mungkin maka imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih cepat.
“Imuniti kelompok dapat membantu mengekang penularan koronavirus maut ini”, tegasnya.-pr/BNN