KOTA KINABALU: Walaupun harus mematuhi SOP yang ditetapkan, Sambutan Hari Sabah atau Sabah Day ke-58 (sejak 31/8/1963) akan tetap dianjurkan secara hibrid pada 31 Ogos, menurut kenyataan dari Japiril Suhaimin, Pengerusi Penganjur Sabah Day 2021.
Menurut Japiril, Gabenor Britain yang terakhir di Sabah, Sir William Goode telah menyatakan pada 28 Ogos 1963, bahawa Borneo Utara akan dikenali sebagai Sabah di mana negeri ini akan memerintah sendiri (Self-Government) dan merdeka pada 31 Ogos 1963 yang dikenali sebagai “Sabah Day”. Bermula dari kesedaran dan semangat cinta akan tanah air, Sambutan Sabah Day pertama kali dianjurkan pada tahun 2015 oleh Gabungan Sabah.
“Secara kebetulan, pada tahun itu, saya adalah pengerusi penganjur sambutan yang diadakan di Kundasang,” tambah Japiril.
“Memahami pentingnya menegakkan fakta sejarah untuk generasi masa depan kita, ramai yang mengesyorkan agar Hari Sabah diwartakan sebagai cuti umum rasmi di Sabah pada setiap 31 Ogos. Sarawak telah mewartakan Hari Sarawak (Kemerdekaan Sarawak) setiap 22 Julai bermula pada tahun 2016.
“Memang, sekarang ini, ramai yang menganggap 31 Ogos disambut sebagai Hari Kebangsaan, berdasarkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi ini telah melenyapkan hakikat bahawa Sabah pernah menjadi negara merdeka pada 31 Ogos 1963. Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah kemudiannya  membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963,” katanya.
Menurutnya, walaupun ia hanya dirayakan secara sederhana melalui aplikasi Zoom kali ini dan peserta dijemput dari seluruh Sabah, namun sambutan tetap mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Bagi mereka yang tidak dapat mengikuti melalui Aplikasi Zoom masih boleh mendapatkan suapan langsung di Facebook,” tambahnya.
Antara tokoh penting yang akan berucap ialah Datuk Hj Mohamad Noor Mansor, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee.
“Semoga tahun depan Sabah Day akan diwartakan,” kata Japiril.-pr/BNN
Japiril Suhaimin (tengah) bersama Jalumin Bayogoh, kedua dari kanan(Timbalan Presiden STAR) dan sebahagian daripada jawatankuasa penganjur