PENAMPANG: Kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan elektrik di kawasan terkesan
oleh banjir di sini berjalan dengan lancar dan dijangka akan selesai sepenuhnya pada hari ini.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Ceasar Mandela Malakun berkata hanya beberapa
pencawang elektrik (PE) yang hampir siap dibaiki, tetapi dijangka akan selesai kerja-kerja
pembaikan pada hari ini.

“Menurut laporan yang telah saya terima, kerja pembaikan akan dibuat di PE Sugud
Penampang 1 manakala kerja pembaikan PE Timpangoh Laut dijangka selesai pada hari ini.

“Bagi PE Sugud Maang yang melibatkan Kg Koidupan, Kg Tinduzon dan Kg Kitangang,
penyambungan semula telah dibuat pada jam 1.05 pagi tadi, tetapi terdapat empat buah rumah yang masih belum mendapat bekalan elektrik dan kerja pembaikan juga dijangka selesai hari ini,” kata beliau dalam satu kenyataan, mengulas laporan daripada SESB.
Ceasar berkata kerja pembaikan PE Maang yang terkesan oleh tanah runtuh mengakibatkan dua tiang Hight Tension (HT) patah dan melibatkan kawasan Kg Maang Jalan Penampang/Papar Lama telah selesai pada 18 September, tetapi Emergency Shut Down (ESD) dibuat pada 21 September untuk melakukan kerja penyambungan semula kepada lima buah rumah yang masih belum mendapat bekalan.

Manakala kerja pembaikan PE Kg Potuki 1 dan PE Kg Potuki 2 yang mengalami dua tiang High Voltage (HV) patah dan empat tiang Low Voltage (LV) rebah telah selesai dan bekalan pulih pada 20 September.

“Saya juga menerima maklum bahawa terdapat kelewatan melaksanakan kerja-kerja
pembaikan dan pemulihan bekalan kerana laluan masuk ke lokasi kerosakan tidak dapat dilalui kerana terlibat dengan tanah runtuh dan banjir,” kata Ceasar.-pr/BNN