KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) yang baharu kepada Tuan Haji Omar Raisul As-Salam Haji Sulaiman Omar di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, pelantikan itu merupakan amanah yang perlu dipikul dengan penuh komitmen bagi memperkasa PBNS.

Katanya, PBNS merupakan sebuah institusi yang penting dalam membantu masyarakat Islam di Sabah.

Beliau juga mahu pengerusi dan pengurusan PBNS memastikan objektif penubuhan perbadanan baitumal tercapai.

Antara lain objektif PBNS ialah mengumpul dan mentadbir wang atau harta alih atau tidak alih mengikut peruntukan Enakmen Perbadanan Baitulmal dan Hukum Syarak.

PBNS juga bertanggungjawab terhadap pentadbiran segala urusan berhubung dengan harta wakaf dan nazar.

Di samping itu, PBNS juga berperanan untuk membelanjakan atau menggunakan wang dan harta yang diperolehi bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menyelenggarakan pembangunan ekonomi, sosial dan kebajikan orang-orang Islam di dalam Negeri Sabah mengikut Hukum Syarak.

Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif, Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Encik Sapdin Ibrahim dan Timbalan Pengerusi PBNS, Haji Ag.Syairin Ag. Bakar.-pr/BNN

Hajiji menyerahkan watikah pelantikan kepada Haji Omar Raisul As-Salam sambil diperhatikan oleh Mohd.Arifin.