KUDAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang telah melancarkan Logo Baharu Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) di Kampung Koniungan Darat, Matunggong kelmarin.
“Ini merupakan program yang begitu signifikan kepada rakyat di Matunggong, terima kasih kepada pihak Kementerian atas usaha murni ini,” kata Julita.
Julita turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Daerah Kudat atas sokongan kepada program seumpama ini.
“Usaha ini telah mengukuhkan rekod yang ada di Matunggong iaitu PPKK Kampung Kinoing dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong yang pertama ditubuhkan di Sabah pada tahun 1995 dan kini dipilih sebagai pusat pelancaran logo baharu PPKK  negeri Sabah,” kata Julita yang juga Pembantu Menteri  Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dalam sidang media yang diadakan selepas majlis pelancaran itu.
Katanya, sejak PPKK Kg Koniung ditubuhkan, ada di kalangan pelajar perintis pada masa itu yang kini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.
“Ini menunjukkan usaha pihak Kerajaan dalam memulakan usaha ini adalah sesuatu yang sangat tepat. Saya bukan sahaja menyokong usaha ini tetapi mengalu-alukan langkah untuk memperbanyakkan PPKK di seluruh Sabah khususnya kawasan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,” kata Julita lagi.
Terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh pihak sukarelawan ibubapa, guru-guru dan kakitangan JPKA sendiri dalam usaha memperkasakan PPKK.
“Kita berharap kerjasama di semua peringkat dieratkan agar dapat menyelesaikan apa yang perlu,” ujarnya. -pr/BNN
Julita (dua dari kanan) semasa dalam Perasmian Pelancaran Logo Baharu PPKK oleh Datuk Shahelmey, kelmarin.