KOTA KINABALU: Pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Sabah bagi golongan dewasa sehingga 26 Oktober 2021 telah mencapai liputan vaksinasi sebanyak 76.6% untuk dos satu dan 72.5% bagi dos lengkap.
Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah dalam satu kenyataan akhbar berkata Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk melaksanakan pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin Covid-19 kepada golongan warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas bermula pada 28 Oktober 2021.
Katanya, Negeri Sabah telah memulakan pemberian dos penggalak ini kepada petugas barisan hadapan (frontliner) kesihatan dan keselamatan bermula dari 20 Oktober 2021.
“Tujuannya adalah supaya penerima vaksin boleh mendapatkan tahap perlindungan yang optima terhadap jangkitan Covid-19.”
“Individu yang layak menerima dos penggalak adalah individu yang telah lengkap menerima dua (2) dos vaksin jenis Comirnaty (Pfizer) sekurang-kurangnya enam (6) bulan dari dos kedua dan Coronavac (Sinovac) sekurang-kurangnya tiga (3) bulan dari dos kedua.
“Selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia, pelaksanaan pemberian dos penggalak adalah menggunakan sama ada vaksin Comirnaty (Pfizer) atau vaksin Coronavac (Sinovac).”
Pemberian dos penggalak adalah percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), katanya.
Menurut belau, individu yang ingin mendapatkan dos penggalak boleh datang secara terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada dan klinik-klinik serta semasa aktiviti outreach yang dijalankan di kawasan mereka.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri menyeru kepada semua individu yang berumur
60 tahun dan ke atas dan layak menerima dos penggalak untuk tampil mendapatkan dos
penggalak vaksin Covid-19 dengan segera bagi mengoptimakan tahap perlindungan diri
mereka, keluarga dan masyarakat.-pr/BNN