KOTA MARUDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding merasmikan Kempen Kesedaran Vaksin dan Kebersihan Persekitaran yang diadakan oleh Majlis Daerah Kota Marudu, di sini, hari ini.
Dalam ucapannnya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) kerana telah merancang program seumpama ini untuk dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di Sabah.
“Saya difahamkan hanya 15 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terpilih untuk melaksanakan program ini dan ini termasuk Majlis Daerah Kota Marudu,” katanya.
Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan (MAFI) turut menegaskan, walaupun negara kini masih bergelut dengan cabaran pandemik Covid-19 tetapi usaha diteruskan untuk menyampaikan dan memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan vaksin Covid-19.
“Kehidupan norma baharu dan kebersihan persekitaran harus diteruskan melalui wadah seumpama ini,” katanya.
“Tanpa komitmen dan kerjasama yang tinggi daripada semua pihak pasti usaha yang baik ini tidak akan tercapai,” katanya dalam satu kenyataan media.
Hendrus berkata, Kota Marudu pada masa ini bukan lagi Kota Marudu 10 tahun yang lalu.
“Pembangunan tumbuh dengan begitu pesat, banyak bangunan kedai dan taman perumahan telah dibina yang mana ia  juga telah merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah ini,” katanya.
Sehubungan itu,  katanya, Kota Marudu masih berhadapan dengan masalah sampah sarap yang menjejaskan kebersihan persekitaran.
“Sampah sarap ini menjejaskan pengaliran air di longkang. Ia menyebabkan air bertakung yang kemudiannya menjadi tempat nyamuk-nyamuk membiak dan akhirnya wabak penyakit baharu akan muncul,” ujarnya.
Justeru, Hendrus sangat menghargai usaha Kerajaan dalam mengadakan beberapa program khusus untuk mengingatkan betapa pentingnya berganding bahu dalam memastikan daerah ini terpelihara dan terhindar daripada sebarang wabak penyakit.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Merangkap Pengerusi Majlis Daerah Kota Marudu, Alexander Yong; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Mumin Amsah; serta Ahli-ahli Majlis Daerah dan Pegawai dan kakitangan. -pr/BNN

Hendrus ketika memberikan ucapan beliau.