BEAUFORT: Mahkamah Anak Negeri (MAN) disarankan untuk mewajibkan pasangan pengantin memakai baju tradisi kaum masing-masing dalam majlis perkahwinan mereka.
Saranan ini datangnya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam yang berkata, ini khasnya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
“Sebelum berlansungnya majlis perkahwinan, sudah tentu diadakan majlis pertunangan dan pastinya ketua-ketua kampung akan terlibat di dalam perundingan majlis pertunangan, jadi perlulah memberikan isyarat kepada kedua belah pihak supaya akur dan bersetuju mengenakan pakaian tradisional dalam memperkasakan indentiti setiap kaum.
“Di sinilah MAN mempunyai atau memainkan peranan dan tanggungjawab di dalam perundingan majlis pertunangan dalam usaha bagi mengekalkan identiti setiap kaum di negeri ini.
“Kerana dengan memakai pakaian tradisional bagi pengantin itulah identiti yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita dan sudah pasti menjadi asas pada sesuatu masyarakat,” katanya semasa memberikan Taklimat Peranan dan Tanggungjawab Kepimpinan MAN bagi kawasan DUN N.34 Lumadan di sini kelmarin.
MAN terdiri daripada Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Cina (Kapitan Cina) yang mewakili berbagai suku kaum yang terdapat di setiap satu daerah ataupun DUN.
Ruslan yang juga Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) berkata, peranan dan tanggungjawab MAN merangkumi aspek pentadbiran dan amalan undang undang adat anak negeri.
Beliau juga menekankan tiga perkara iaitu para pemimpin kampung haruslah menjaga tutur kata atau bahasa yang mereka gunakan sama ada urusan rasmi mahupun tidak.
“Kedua, saya mahu para pemimpin juga menjaga keterampilan mereka bukan sahaja dari segi pakaian tetapi juga termasuk gaya bahasa tubuh badan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, beliau meminta mereka menjaga pesekitaran kawasan kediaman masing masing.
“Kerana mereka mewakili setiap penduduk kampung masing-masing, jadi sudah pasti mereka menjadi perhatian penduduk dan menjadi contoh kepada penduduk kampung,” katanya.
Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat tahun baharu 2022, sambil berharap semoga dengan kedatangan tahun baharu ini memberikan satu semangat kepada semua untuk terus lebih maju ke hadapan dalam apa juga pekerjaan yang lakukan.-pr/BNN
Ruslan (kanan) menerima cendera kenangan daripada Ketua Daerah DUN Lumadan, Haji Tamidin Hj Asari