KUDAT:Seramai 176 ketua isi rumah (KIR) yang kehilangan rumah dalam kebakaran yang berlaku Kampung Landung Ayang pada Rabu lalu mendapat bantuan daripada kerajaan.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat I dan II, Datuk Julita Majungki dan Flovia Ng mewakili Kementerian menyampaikan bantuan berkenaan di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.
Kesemua 1,626 mangsa kebakaran ditempatkan di pusat penempatan sementara yang dibuka di dewan tersebut.
Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, barangan yang disampaikan barang keperluan harian, barangan dapur seperti tong gas dan dapur memasak yang bernilai RM1,000.
Julita berterima kasih kepada semua penyumbang dari kalangan individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan entiti perniagaan yang turut menyumbang meringankan beban mangsa yg terlibat dan pihak kerajaan. Beliau juga berharap kesemua mangsa kebakaran tabah mengharungi kesukaran ini.
Pegawai Daerah Kudat, Bakri Nanun turut hadir semasa sesi menyerahkan sumbangan berkenaan.-pr/BNN