PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan menyifatkan pencerobohan perairan sempadan Malaysia di Laut China Selatan oleh China adalah pencabulan kedaulatan negara yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, ancaman kedaulatan semakin membimbangkan kerana Sabah dan Sarawak akan menjadi wilayah yang berada di barisan hadapan sekiranya isu geo politik ini tidak ditangani dengan segera.
Katanya, campur tangan serius kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pertahanan serta agensi-agensi berkaitan diperlukan kerana ancaman ini menjejaskan aktiviti pembangunan ekonomi maritim.
“Difahamkan, bermula awal April 2022, pesawat pejuang ‘halimunan’ termoden China, J-20 direkodkan berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.
“Sepanjang tahun 2021, Tentera Laut Diraja Malaysia telah melaporkan 23 kes pencerobohan di Zon Ekonomi Eksklusif Negara (EEZ). Insiden seumpama ini sudah bermula sejak tahun 2013.” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Ahmad berkata, sejak tahun lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim China telah menceroboh lapangan Kasawari yang terletak di pesisir perairan Malaysia sekaligus menjejaskan kerja-kerja pembangunan minyak dan gas baru negara oleh PETRONAS.
Menurutnya, intimidasi berterusan daripada 300 kapal maritim China yang meronda Laut China Selatan turut menjejaskan kegiatan perikanan oleh nelayan-nelayan kecil Sabah.
Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan lebih tegas daripada kerajaan persekutuan bagi membela kedaulatan negara khususnya Sabah yang terlibat secara langsung dalam konflik pertindihan wilayah ini.
“Pencerobohan sempadan perairan dan ruang udara Laut Cina Selatan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.
“Alasan Kerajaan China kerap kali diulang bahawa mereka ‘sekadar’ menjalani Latihan Ketenteraan dan bertegas tidak merentasi mana-mana sempadan antarabangsa adalah tidak munasabah sama sekali.
“Tidak masuk akal sekiranya tindakan tidak terancang sedemikian setelah pencerobohan maritim berlaku banyak kali dan rekod dari Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 2018 telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016-2019,” katanya.
Ahmad turut mempersoalkan apakah resolusi yang digerakkan Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan untuk mengatasi isu itu memandangkan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan baik dengan China.
Jelasnya, siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta Pantai Timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik Covid-19 menggambarkan betapa Wisma Putra dan MINDEF tidak mempunyai apa-apa pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis keselamatan negara.
“Apakah tanda kehormatan kepada ‘Abang Besar’ China membolehkan mereka bertindak sesuka hati?. Peristiwa antara tentera udara China dan tentera Malaysia memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara kita untuk situasi sedemikian.
“Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini, Filipina, Vietnam, Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. Adalah jelas pendirian negara-negara ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.
“Namun, setakat mana suara ini didengari Kerajaan China? Adakah cukup cubaan ‘memanggil Duta Besar China’ didendangkan pada media tempatan sekadar menjadi ubat tahan sakit tanpa bertemu penawar?,” tegasnya.
Ahmad berkata, Indonesia juga dikaitkan dengan pertikaian itu kerana sempadan maritim China yang berada dalam kawasan ‘nine-dashed-lines’ merentang ke bahagian utara wilayah Kepulauan Natuna.
Katanya, ini bukan sekadar isu dua hala tapi ia juga isu multilateral yang melibatkan sistem politik yang kompleks serta mempunyai insentif yang berbeza hingga memberi ancaman kepada rakyat Malaysia khususnya warga Borneo.
“Banyak yang terpaksa dikorbankan, banyak yang perlu diraih, tetapi malangnya, rakyat Sabah dan Sarawak akan menjadi benteng di barisan hadapan. Sabah dan Sarawak terpaksa dijadikan benteng dalam konflik Laut China Selatan.
“Kerajaan Malaysia harus mengambil sikap lebih tegas dalam menggesa semua pihak terlibat menghentikan pencerobohan mereka dan komited kepada rundingan damai. Tidak cukup dengan hanya bergema sentimen negara lain.
“Malaysia juga harus berpendirian teguh dengan isu geopolitik semasa yang menyelubungi perairan Malaysia kita dengan pencerobohan demi pencerobohan oleh negara besar di timur, kita mungkin berada dalam kedudukan yang sama seperti Ukraine,” tegasnya.
Ahmad berkata, terdapat keperluan untuk membina dan mengukuhkan mekanisme pertahanan kita dengan lebih serius bagi menghentikan pencerobohan aktiviti ketenteraan asing meNgikut resam asas undang-undang antarabangsa.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan serantau susulan kemelut itu yang jelas akan memberi kesan kepada ekonomi khususnya sektor pelancongan serta perikanan sebagai penyumbang utama pendapatan Sabah dan Sarawak.
“Kita dipandang rendah oleh China kerana mereka tahu kita tidak ada kemampuan mempertahankan tindakan mereka kerana kita tidak mempunyai sistem pertahanan yang baik.. ada kapal perang yang ditempah enam buah pun belum siap-siap.
“Sudah bertahun-tahun satu pun belum siap.. apakah sebabnya? Di sini semuanya balik kepada kerajaan.. ketulusan dan kepincangan takbir urus dalam pembuatan kapal perang ni,” soalnya.
Ahmad berkata, pencerobohan dan penempatan tentera dari kuasa besar antarabangsa wajar menjadi model relatif yang jelas betapa kelesuan negara bertindak sama ada secara kesatuan atau tidak akan menyebabkan kedaulatan negara sekadar menjadi piagam pemanis bicara.
Menurutnya, Malaysia harus bertindak secara kolektif bersama negara-negara ASEAN untuk mencapai resolusi dan kesefahaman bersama China bahawa tindakan mereka atas nama latihan atau tidak disengajakan amat mengguris perasaan kita sebagai sebuah negara berdaulat.
“Tidak sepatutnya mereka gunakan wilayah kita sebagai proksi pertempuran antara kuasa-kuasa besar. Jika mereka mempunyai masalah antara satu sama lain, selesaikan sendiri..jangan guna Laut China Selatan untuk tunjuk kekuatan mereka..tinggalkan rantau perairan Sabah, rakyat Sabah, ekonomi Sabah, sumber Sabah, untuk masa depan rakyat Sabah.
“Keutamaan saya adalah untuk keselamatan masyarakat Sabah secara khusus, pada masa yang sama untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. Kegusaran masyarakat akan terus timbul dan risiko penjejasan ekonomi akan berlaku sekiranya hal ini tidak ditangani segera.
“Ketika Kerajaan Sabah sedang giat membanteras pencerobohan dan keganasan berskala kecil, kerencaman politik antarabangsa bukanlah satu hal yang sesuai untuk diterima. Krisis pencerobohan ruang udara dan maritim negara perlu dinoktahkan segera,” tegasnya.-pr/BNN