PITAS: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menyerahkan sebanyak 206 geran tanah adat negeri (NT) kepada pemohon di daerah Pitas, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri melalui
Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) terus komited dan memberi keutamaan bagi mempercepatkan permohonan tanah penduduk di negeri ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, proses pengukuran tanah yang telah diduduki dan
diusahakan penduduk kampung setempat diukur oleh JTU melalui Program
Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang diperkenalkan sejak lebih 10
tahun lalu.

“Justeru, penyerahan geran pada hari ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk
meneruskan program PANTAS,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek
Pembangunan Rumah Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar di
Pekan Baharu Pitas, di sini pada Khamis.

Hajiji berkata pemberian geran tanah menerusi Program PANTAS telah dimulakan oleh
kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2011, bertujuan memastikan pengeluaran
geran berstatus NT untuk tanah hak adat anak negeri (NCR) yang sudah lama diduduki
bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini.

“Pemberian geran tanah ini sudah dilakukan oleh kerajaan BN sejak lebih 10 tahun lalu.
Ini mungkin rakyat tidak tahu, tetapi kami dalam Kerajaan GRS-BN tidak suka berpolitik
sahaja, apa yang kami lakukan sekarang ialah bekerja untuk menunaikan janji kepada
rakyat menerusi SMJ.

“Banyak lagi program yang akan kita lakukan walaupun berdepan dengan pelbagai
cabaran,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menyaksikan penyerahan dan pewartaan rizab
perkampungan bagi 10 buah kampung daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu
Sawit Kinabalu kepada Pejabat Daerah Pitas.

“Saya telah berbincang dengan Pengarah Urusan Sawit Kinabalu agar dapat memberi
tanah kepada rakyat dan ia direalisasikan hari ini.

 

“Kita tidak mahu rakyat menjadi pelarian di kampung sendiri kerana tidak ada tanah,” katanya sambil berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan GRS-
BN.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata
pembangunan Rumah Kedai di Pekan Baharu Pitas ini membuktikan kesungguhan,
keikhlasan dan keprihatinan kerajaan untuk membangunkan negeri ini termasuklah di
kawasan luar bandar.

“Kita mahu membawa Pitas yang sebelum ini dianggap sebagai daerah mundur, tetapi
dalam kerajaan GRS-BN ini, kita akan membawa lebih banyak kemajuan.

“Inilah agenda dan keutamaan kerajaan bagi memastikan agar setiap rakyat dapat
menikmati pembangunan di negeri ini. Saya percaya dengan majlis pecah tanah pada
hari ini, bermulalah satu titik tolak pembangunan untuk Pekan Baharu Pitas.

“Saya juga meminta kepada semua pihak sama ada pemimpin, jabatan dan agensi
awam, sektor swasta serta seluruh lapisan rakyat agar bekerjasama memastikan
pelaksanaan pembangunan komersial di Pekan Baharu Pitas ini berjalan dengan lancar
dan siap mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Projek Komersial di Pekan Baharu Pitas ini melibatkan pembinaan 68 unit kedai teres
dua tingkat sebanyak 52 Unit, kedai sesebuah dua tingkat sebanyak 2 unit dan Lot
Industri sebanyak 14 unit.

“Jika dilihat projek ini bolehlah dianggap satu projek mega bagi Pekan Pitas.
Pembangunan seumpama ini sudah pasti berupaya menyediakan kemudahan kepada
masyarakat di sini seperti peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Yang turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri
Kewangan II, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri
Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Bin Untong; Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan
Inovasi; ADUN Bengkoka, Harun Durabi; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar; (LPPB), Datuk Masiung Banah; Pengarah JTU, Datuk Bernard Liew; Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Haji Jansie; Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping dan Pegawai Daerah Pitas, Firus Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul.-pr/BNN