KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah -Barisan Nasional (GRS-BN)hari ini melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), salah satu inisiatif bagi
membangunkan agenda pendidikan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Inisiatif yang bertemakan
“Peluang Tajaan Untuk Semua”, membuka sinar baharu kepada rakyat negeri ini dalam
mengejar pendidikan di menara gading.
Katanya, penubuhan TPNS yang merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik
Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (YS) 2015-2023 diwujudkan bagi mengumpul dana
untuk membuka lebih banyak peluang tajaan kepada anak-anak negeri Sabah yang berjaya
memasuki institusi pengajian tinggi.
“Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Kumpulan YS dalam menokok tambah usaha
kerajaan membangunkan agenda pendidikan di negeri ini. Pelancaran TPNS ini tepat pada
masanya, sekali gus membuktikan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri melalui
Kumpulan YS terhadap masa depan generasi muda kita”.
“Komitmen tersebut amat diperlukan lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan fasa pertama Pelan Pembangunan SMJ 1.0, 2021 -2025) pada Mac 2021 lalu, yang antaranya menjadikan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai antara teras utama”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalul, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata,
kerajaan negeri amat memberi penekanan dalam pembangunan modal insan di negeri ini.
Justeru katanya, dalam Belanjawan Negeri 2022, pelbagai insentif diberikan bagi
memperkasa pendidikan termasuk TPNS, merupakan satu daripada “touch point” Belanjawan 2022 Negeri Sabah.
Menurutnya, sejajar dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan,
pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan
dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Katanya, keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang
Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran
pada masa akan datang.
Beliau berkata, tahun ini (2022) satu inisiatif baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Ihsan
Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
Hajiji berkata menerusi BISTARI, Kerajaan Negeri akan menyediakan setiap anak Sabah
yang dilahirkan bermula tahun 2022, ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan bantuan sejumlah RM100 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri.
Katanya, disamping pelbagai program bantuan pendidikan yang dilaksanakan, kerajaan
sentiasa berusaha untuk menambah peruntukan bagi bantuan pembiayaan pendidikan dan
latihan sama ada dalam bentuk biasiswa, geran dan pinjaman.
“Sejak tahun 1967 sehingga 2021, Kumpulan YS telah membelanjakan sebanyak RM768,981,057.74 yang memberi manfaat kepada hampir 114,934 orang pelajar, untuk
tajaan menengah dan pengajian tinggi”.
“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM10 juta dalam usaha meringankan beban keluarga pelajar dengan pelaksanaan Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) iaitu pemberian bantuan tunai one-off sebanyak RM2,000 kepada pelajar yang mengambil ijazah dan RM1,500 kepada pelajar diploma. Bantuan ini disasarkan kepada keluarga berpendapatan B40. Setakat ini, bagi bantuan BUDI seramai 1,079 pelajar telah diluluskan daripada lebih kurang 5,000 pelajar yang dijangka menerima faedah ini dengan membabitkan peruntukan RM10 juta”, tambahnya.
Katanya, inisiatif lain ialah pengagihan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan
Komputer (BAIK) kepada pelajar yang tidak berkemampuan dan bakal menduduki
peperiksaan awam.
“Bantuan-bantuan ini dilaksanakan demi memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik terutamanya golongan B40”, tegasnya.
Sementara itu, Hajiji berkata sehingga kini, jumlah dana TPNS yang terkumpul adalah
sebanyak RM54.5 juta, melalui sumbangan daripada Kerajaan Negeri Sabah, Benta
Wawasan Sdn. Bhd, Sabah Softwoods Berhad, Innoprise Plantations Berhad, Yayasan Lau
Gek Poh, Ikatan Kayangan Sdn. Bhd. dan Usahawan Borneo Group.
Beliau menyeru semua pihak termasuk syarikat-syarikat besar yang beroperasi dan meraih
keuntungan di negeri ini, agar dapat tampil memberi sumbangan bagi membolehkan TPNS
mengumpul dana yang diperlukan.
“Harapan saya agar dana terkumpul ini akan menjadi landasan bagi membolehkan lebih
ramai anak-anak Sabah berpeluang ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Sesungguhnya, anak-anak Sabah pada hari ini merupakan aset paling berharga bagi negeri
kita kerana mereka adalah tiang negara dan bakal pemimpin pada masa hadapan”,
tambahnya.-pr/BNN