KOTA KINABALU: Seramai 75 peserta muda dari Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Membakut, Sipitang, Tambunan, Keningau dan Sook berjaya menamatkan pengajian dalam program latihan yang dikendalikan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) dan dengan kerjasama oleh CLC (Jawatankuasa Perhubungan Kawasan) dan Mudanita.
Program yang dinamakan EVO Camp ini berlangsung selama 3 hari 2 malam di Kebun Atuk Farmstay di Telipok berakhir pada 6 Jun dengan majlis penutupannya disempurnakan oleh Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee di Pusat Komuniti Kota Kinabalu di KK.
Program Kem EVO yang menyasarkan golongan muda dari umur 18 hingga 25 tahun, bertujuan untuk mendidik mereka tentang latar belakang sejarah Sabah ditambah dengan kuliah dan lawatan tapak, mengenai budaya tempatan, isu politik dan pemahaman serta pemikiran kritis dan perbahasan.
Sepanjang program kursus berlangsung, kursus induksi juga telah diberikan kepada 50 peserta yang ingin menyertai parti secara sukarela. Ahli-ahli muda baru ini akan berada di bawah cawangan baru yang akan diwujudkan terus di bawah Ibu Pejabat.
Parti berharap misi Kem EVO oleh Pemuda akan membantu meningkatkan keahlian ahli muda parti.
Kem EVO, telah dijenamakan semula pada 2015 selepas kem terdahulu seperti Kem Belia dan Kem Bestari. Kem Belia, yang paling awal dimulakan pada tahun 1998. Semua peserta Kem EVO yang berjaya akan menjadi ahli Kelab EVO Camp dan diberikan kad ahli kelab.
Sementara itu, penyertaan bagi program Kem EVO bagi Pantai Timur masih dibuka sehingga 17 Jun ini untuk pendaftaran di Sandakan.-pr/BNN