KOTA BELUD: Majlis Perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Sabah hari ini.
Kawasan sawah terbiar seluas 45 hektar di daerah Kota Belud melibatkan 40 orang
pesawah akan dibangunkan melalui inisiatif Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB),
dan dijangka akan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama strategik
awam-swasta bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Dr Ronald berkata program SMART SBB yang dirangka khusus sebagai hala tuju baharu
subsektor padi dan beras negara untuk meningkatkan produktiviti dalam mencapai Tahap
Sara Diri (SSL) beras 75 peratus sebagaimana yang ditetapkan dalam tempoh
Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) sekaligus mengurangkan kebergantungan
import.
‘Saya yakin kolaborasi strategik antara MAFI dengan syarikat-syarikat peneraju akan
menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan,’
jelas beliau.
Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM68.97 juta kepada
Sabah bagi tahun 2022 menerusi 3 program subsidi input dan 1 program subsidi output.
Peruntukan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 45,016 orang pesawah
termasuk pesawah padi bukit.
Pada majlis yang sama, Dr Ronald juga turut menyempurnakan simbolik majlis pecah
tanah bagi pembinaan Kompleks IADA (Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu)
yang akan menjadi satu mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras di
negeri Sabah.
Selaras dengan usaha Kerajaan untuk memperkasa peranan IADA dan membantu
pembangunan subsektor padi di daerah Kota Belud, Kerajaan Persekutuan telah
memperuntukkan sejumlah RM36 juta untuk kompleks ini dan dijangka akan siap dalam
tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
Kompleks IADA ini dijangka akan menyumbang kepada pembangunan kawasan yang
lebih holistik dan cekap. Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah
bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi, bengkel jentera
pertanian, makmal analisis pertanian dan lain-lain.
Kerajaan juga sedang giat membangunkan sistem pengairan dan saliran Kota Belud
yang melibatkan kos sebanyak RM410.39 juta untuk mengatasi masalah air. Projek
pembangunan ini merangkumi 17 projek pembangunan dan melibatkan kerja-kerja naik
taraf sistem pengairan dan saliran, pembinaan tali air utama, pembinaan jalan ladang
dan infrastruktur lain yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Seluas 5000 hektar kawasan penanaman padi sebanyak dua kali setahun akan dapat
dilaksanakan apabila ianya siap kelak.
“Pembangunan infrastruktur ini tentu sekali akan memberi manfaat kepada pesawah dari
segi peningkatan hasil dan pendapatan sekaligus menyumbang kepada peningkatan
SSL Negeri Sabah kepada 60 peratus,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, MAFI juga bercadang untuk mengoptimumkan penggunaan
sumber tanah di Sabah dan Sarawak dengan sasaran pembukaan kawasan jelapang
baharu seluas 200,000 hektar di kedua-dua buah negeri melalui kerjasama Kerajaan
Negeri masing-masing dengan anggaran pengeluaran hasil padi sebanyak 1.2 juta tan
metrik setahun.
MAFI dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah sentiasa berusaha untuk membawa
pelbagai pembangunan dan kemajuan kepada industri padi dan beras Sabah sekaligus
membantu pesawah dalam meningkatkan hasil dan pendapatan melalui program dan
pendekatan bagi memastikan bekalan sekuriti makanan terjamin dan mencukupi
sepanjang masa.
Dr Ronald turut menyerahkan mock cheque Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi
(TBTP) bernilai sebanyak RM71,411.88 kepada wakil penerima daripada Kumpulan
Pengguna Air Kampung Tempasuk 2, iaitu Encik Lejimin Gindal yang mewakili 91 orang
pesawah yang terkesan akibat bencana banjir pada tahun 2021.
Turut disampaikan adalah mock key Pam Air kepada Kumpulan Pengguna Air (KPA) bagi
sebelas (11) kawasan yang diwakili oleh Encik Amran@Harman Sibin dari KPA Kampung
Labuan dan jentera mini pembajak dan penuai kepada kepada tiga buah kampung yang
diwakili oleh Encik Yipin Yaga.
Turut hadir YB Hendrus Anding, Pembantu Menteri (II) Kementerian Pertanian dan
Perikanan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Dr. Mariana Tinggal, Setiausaha Tetap
Kementerian Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah, YBrs. Tuan Jifrin Haji Mohamad,
Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, YBrs. Encik Azman Bin Mahmood, Setiausaha
Bahagian Bahagian Pembangunan Industri Padi MAFI, YBrs. Encik Abdul Wahab Bin
Sidek, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, YBrs. Encik Mohamad Radzi Bin Abdul
Talib, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, YBhg. Dato’ Dr. Norlizan Bin
Mohd Noor, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan YBrs. Tuan Yusoff
bin Othman, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.-pr/BNN