KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap
hubungan persahabatan yang baik dan kerjasama yang erat di antara Sabah dan China
dalam pelbagai bidang dapat diperkukuhkan lagi untuk manfaat dan faedah kedua-dua
pihak.

Katanya, Sabah mengalu-alukan para pelabur dari negara China untuk melabur di negeri
ini, selain kedatangan para pelancong dari negara itu, memandangkan Sabah
mempunyai banyak sumber semulajadi yang cantik dan unik.

“Saya berharap Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu yang baharu, Ms
Huang Shifang dan Pejabat Konsul Jeneral di sini akan memainkan peranan penting
membantu mempromosi Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan dan pelaburan
utama kepada rakyat China.

Hajiji yang mengalu-alukan Huang ke Sabah, berharap ramai pelancong China akan
melawat Sabah apabila rakyat negara itu dibenarkan kembali melancong ke luar negara.

“Kita mempunyai hubungan yang baik dengan China selama ini dan Sabah sangat
mengalu-alukan kedatangan pelancongan daripada negara China. Ini akan membantu
pertumbuhan industri pelancongan negeri ini”, katanya semasa menerima kunjungan
hormat daripada Huang di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Huang yang mengganti tempat Liang Caide, tiba di Kota Kinabalu pada 30 Mei 2022.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr.Haji Safar Untong,
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU), Puan Jasmin Teo, Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) Invest Sabah Berhad dan Datuk Madiyem Layapan dan Setiausaha
Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr.Roland Chia.-pr/BNN