KOTA KINABALU: Sabah telah membelanjakan sebanyak RM1.479 bilion atau kira- kira 28.15 peratus daripada agihan peruntukan RM5.254 bilion bagi 1,098 projek yang
diluluskan dalam Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sehingga
12 Jun lalu. Jumlah itu dilihat tidak begitu jauh daripada prestasi nasional yang kini telah mencapai 36.80 peratus.

Sehubungan itu Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap
kerajaan negeri dapat mengatasi prestasi nasional yang kini telah mencapai lebih
36.80 peratus, dengan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini dapat dilakukan
mengikut jadual ditetapkan.

“Oleh itu, saya mahu semua kementerian dan agensi memberi perhatian dan tindakan
susulan dalam memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan
mengikut jadual agar kita dapat mengatasi prestasi nasional.

“Mana-mana peraturan yang tidak berkesan, cari kaedah baharu agar pelaksanaan
dapat dibuat secepatnya. Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan ini
digunakan sebagai satu platform untuk berkongsi maklumat bagi membincangkan dan
seterusnya mendapatkan jalan penyelesaian kepada isu-isu pelaksanaan projek
pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan
Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Kali Kedua, di Menara Kinabalu, di sini pada
Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Menteri mahu ada satu penyelarasan antara
semua jabatan dan agensi Persekutuan serta negeri yang terbabit dalam pelaksanaan
Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah.

“Perkara (penyelarasan) ini penting agar kita tahu di kawasan mana dan agensi mana
yang terbabit dalam pembinaan projek PPRT di negeri ini. Ia penting kerana keperluan
untuk rumah PPRT di Sabah amat banyak. Justeru, saya meminta kepada pihak yang
berkaitan agar sampaikan hasrat kerajaan negeri mengenai keperluan rumah PPRT di
negeri ini.

.“Saya dimaklumkan sebanyak 710 rumah PPRT akan dibina pada tahun ini di Sabah. Sebenarnya, jumlah ini tidak cukup kerana kita telah meminta sebanyak 2,000 unit
tetapi hanya 710 yang diluluskan. Kerajaan negeri bagaimanapun akan terus menuntut
untuk mendapatkan lebih banyak lagi PPRT dibina di Sabah,” katanya.

Mengenai sebanyak 69 projek sakit di Sabah, Hajiji mahu agensi atau jabatan yang
terbabit memberi perhatian serius terhadap perkara ini.

“Jika disebabkan jabatan atau agensi kerajaan negeri, saya meminta mereka tidak
melambat-lambatkan projek daripada kerajaan Persekutuan dan beri kerjasama yang
sepatutnya kerana setiap projek seperti pembinaan sekolah atau hospital, semuanya
adalah untuk rakyat.

“Jika pembayaran lambat, kita akan usahakan dan jika kontraktor yang bermasalah,
tindakan perlu diambil. Saya juga minta kuasa diturunkan kepada pegawai
persekutuan di Sabah, jika ia membabitkan projek daripada Persekutuan. Ini bagi
mempercepatkan keputusan dibuat dan projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau juga dimaklumkan bahawa Unit Penyelarasan
Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) telah mengambil langkah proaktif
dengan menganjurkan Makmal Sifar Projek Sakit pada 7 hingga 9 Jun yang lalu untuk
mengenalpasti penambahbaikan dan inovasi bagi melancarkan pelaksanaan projek.

“Di samping itu platform tersebut juga digunakan untuk menentukan penyelesaian
terhadap masalah atau isu pelaksanaan projek-projek pembangunan. Semasa makmal
ini berlangsung, Jabatan Audit Negara telah membentangkan analisis penemuan
keberkesanan pelaksanaan projek Kerajaan dan salah satu projek yang berada dalam
analisis penemuan audit adalah Projek Penaiktarafan Keretapi negeri Sabah. “Ini kerana kawasan pembinaan (landasan keretapi Halogilat ke Tenom) mempunyai
isu topografi serta kejadian tanah runtuh, hakisan tebing sungai dan banjir.Isu-isu
tersebut tidak diambil kira semasa meluluskan peruntukan projek dan ini menunjukkan
kelemahan perancangan projek,” katanya.

Hajiji berkata projek yang sepatutnya telah siap pada tahun 2019 ini hanya mencapai
peratus siap 99.5% sehingga September 2021 setelah mengambil kira lima (5) EOT
atau lanjutan tempoh masa (748 hari). Mengenai pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan, Ketua Menteri sekali lagi meminta ia perlu diberi keutamaan.

“Saya ingin menegaskan dalam mesyuarat ini agar perkara ini perlu diberi keutamaan,” katanya.

Beliau juga berharap sinergi di antara jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat
diperkasakan dan bergerak pantas secara seiring pada landasan yang tepat menuju
destinasi yang sama.

“Melalui kebersamaan ini, semua pihak sudah tentu mempunyai rasa kepunyaan
(sense of belonging) kepada Hala Tuju SMJ dan rasa keperluan bertindak segera
(sense of urgency) bagi melaksanakan setiap inisiatif SMJ, serta rasa kebanggaan
pencapaian (sense of accomplishment) bila mana menjadi sebahagian daripada usaha
menjayakan sesuatu inisiatif dalam Pelan Pembangunan SMJ.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk
Seri Panglima Bung Moktar bin Radin; Timbalan Menteri III merangkap Menteri
Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunalam dan barisan menteri
Kabinet negeri.

Mesyuarat itu juga turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr
Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk (Datu) Rusmadi Datu Sulai;
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU JPM, Datuk Ruji Ubi; Ketua
Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor
Azman Taib dan Pengarah Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Samsul Dollah. -pr/BNN