TUARAN: Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) berjaya mengendalikan sebanyak 46 kes berkaitan dengan kekeluargaan dan
penganiayaan dari sudut Syariah,Sivil dan Adat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini,
kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, berdasarkan statistik terkini dari Januari 2022 hingga Jun 2022, sebanyak 40
kes dikendalikan di Kota Kinabalu, 4 kes di Kota Belud dan 2 kes di Sandakan.
“Diharapan menerusi usaha yang dilaksanakan oleh JHEWA ini, lebih ramai golongan
wanita khususnya dapat dibantu untuk diwakili di mahkamah dalam kes-kes kritikal dan
lama tidak selesai.
“Perkhidmatan Bantuan Guaman oleh JHEWA khas untuk wanita yang memerlukan
pembelaan dan nasihat berkaitan perundangan, dan golongan hawa perlu mengetahui
fungsi perkhidmatan yang diberikan”, katanya ketika merasmikan Program “Jerayawara
Jelajah Sabah” di Dewan Seri Sulaman, hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal
Ehwal Wanita (JHEWA) serta mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah, Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Daerah Tuaran adalah destinasi kelima pelaksanaan program “Jerayawara Jelajah
Sabah” yang bermula sejak bulan Julai lalu, selepas daerah Ranau, Tawau, Lahad Datu
dan Putatan. Program itu akan diteruskan ke beberapa daerah lain.
Hajiji berkata, program “Jerayawara Jelajah Sabah” amat bermakna kepada rakyat bagi
mengetahui lebih lanjut produk dan perkhidmatan yang diberikan oleh MPWS, JHEWA,
KWSP, PERKESO dan AKPK yang berkaitan bantuan guaman, tanggungjawab majikan,
hak pekerja, caruman dan penyelesaian masalah kewangan.
“Kerajaan negeri komited,menyokong pelaksanaan program ini kerana ia turut membantu
usaha kerajaan memberi lebih banyak maklumat yang bermanfaat kepada rakyat. Saya
berharap program seperti ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat untuk lebih
mengetahui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program berlangsung
oleh agensi-agensi yang terbabit”.
“Saya juga berharap agar semua info dan perkongsian yang telah disampaikan oleh
agensi-agensi pada hari ini memberikan manfaat yang berguna kepada peserta program
dan segala ilmu yang diperoleh ini dikongsikan kepada saudara mara dan rakan
terdekat”, tambahnya.-pr/BNN