TELUPID: Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk
mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kata Ketua
Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, cadangan ini akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sabah akan datang, sekiranya rakyat dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
bersetuju untuk meminda Perlembagaan Negeri berkaitan perkara tersebut.

“Saya telah mencadangkan perkara ini dan Kabinet Negeri telah bersetuju. Jadi,
sekiranya rakyat dan semua ADUN Kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan
cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kita
akan bawa ke persidangan DUN Sabah akan datang untuk meminda Perlembagaan
Negeri’.

“Ini kerana mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri melibatkan soal perundangan,
justeru Perlembagaan Negeri perlu dipindah melalui Persidangan DUN Sabah”.

“Cadangan Ini merupakan salah satu lagi inisiatif yang dibawa oleh Kerajaan Gabungan
Rakyat Sabah-BN (GRS-BN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen
Beluran di Dataran Telupid, dekat sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh presiden dan pemimpin parti-parti komponen GRS. Antaranya
ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Maximus J Ongkili,
Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Bin Haji
Mulia, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang
juga Ahli Parlimen Beluran, ADUN Tulipid, Encik Jonnybone J Kurum dan ADUN Labuk,
Encik Samad Jamri.

Program Jelajah GRS Parlimen Beluran merupakan siri jelajah ke 4, selepas Keningau,
Kudat dan Lahad Datu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS yang terdiri daripada parti berbilang kaum
dan kepercayaan agama merupakan wadah dan platform menyatukan pemimpin dan
rakyat Sabah bersama-sama memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Sabah.

Katanya, sudah sampai masanya pemimpin dari parti-parti tempatan Sabah bersatu hati
dalam satu wadah iaitu GRS bersama-sama berjuang menuntut dan menjaga
kepentingan Sabah.

“Kita tidak akan berkompromi dalam memperjuangkan dan menuntut hak-hak Sabah
seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)”, tegasnya.

Beliau berkata, matlamat GRS ialah menyatu padukan parti-parti tempatan di negeri ini
dan memastikan Sabah maju dan diperintah oleh parti tempatan di masa akan datang.

“Kita perlu belajar dari pengalaman pada masa lampau. Dalam politik, bagaimana
keadaan kita apabila kita berpecah. Kerana itu, sudah sampai masanya rakyat Sabah,
parti-parti politik tempatan di Sabah mesti bergabung dalam satu gabungan yang kita
panggil GRS”.

“Tujuannya ialah untuk memastikan Sabah maju ke depan, Sabah Maju Jaya di masa
akan datang. Ini amat penting kerana kalau kita masih bercakaran dan berpecah, tidak
mungkin kita berjaya”.

“Kalau kita tidak bersatu hati dalam satu gabungan, tidak mungkin kita berjaya dalam
politik, apatah lagi untuk membangun negeri Sabah di masa akan datang”, tegasnya.

Hajiji menyeru agar jentera GRS diaktifkan di semua kawasan bagi menghadapi Pilihan
Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, jentera GRS mesti turun ke kampung-kampung memberi penerangan kepada
rakyat tentang matlamat dan perjuangan GRS.

Beliau meminta rakyat Beluran memastikan calon yang dipilih mewakili GRS menang di
kerusi parlimen Beluran pada PRU ke 15.-pr/BNN