KOTA KINABALU: Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia
(PUSPANITA) cawangan Sabah diminta terus menganjurkan lebih banyak program
yang boleh memperkasakan semua ahlinya dalam pelbagai bidang ilmu seterusnya
diturunkan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, turut melahirkan
rasa kagum dengan prestasi dan kecemerlangan PUSPANITA Cawangan Sabah
dalam melaksanakan pelbagai program bermanfaat kepada persatuan itu dan ahlinya
serta kepada orang ramai.

“Sejajar dengan misi PUSPANITA iaitu memperkasa dan merakyatkan PUSPANITA, saya merakamkan syabas kepada persatuan ini kerana telah mengambil pelbagai
inisiatif dan tidak pernah jemu berusaha melaksanakan program bagi memperkasakan
semua ahlinya.

“Ini termasuklah penganjuran kursus, seminar, ceramah dan lawatan sambil belajar, yang saya percaya telah dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan
pengetahuan kepada ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang.

“Sudah tentu usaha merakyatkan PUSPANITA juga turut dilaksanakan, bagi
meningkatkan keprihatinan ahlinya dengan mengutamakan keperluan rakyat. Antara
aktiviti yang dianjurkan ialah Program “We Help” dan “Love Bank” yang mana
PUSPANITA turun padang ke setiap daerah untuk memberi sumbangan kebajikan
serta membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih
bersama Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah di Sabah International Convention
Centre (SICC) di sini pada Jumaat. Juliah yang juga Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah, berkata beliau berasa bangga dengan kejayaan persatuan itu yang menerima beberapa anugerah bukan saja peringkat negeri malah kebangsaan.

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan bahawa ahli-ahli PUSPANITA mempunyai
komitmen dan bersemangat waja sebagai satu pasukan dalam penganjuran setiap
program dan aktiviti yang dirancang.

Mengenai majlis itu, Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan
Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), berkata ia akan
menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, berkongsi idea dan pengalaman
antara ahli-ahli PUSPANITA dan MUTIARA GRS.

“Harapan saya agar Mutiara GRS dan PUSPANITA akan berganding bahu memberi
sokongan dan sumbangan terhadap usaha-usaha Kerajaan membangunkan negeri ini
melalui kerja-kerja amal bakti.

“PUSPANITA dan MUTIARA GRS berkongsi beberapa persamaan, iaitu bukan saja bertujuan memperkasakan ahli tetapi juga memanfaatkan tenaga kolektif mereka untuk melakukan penambahbaikan kepada wanita dan masyarakat secara keseluruhan.

“Saya berasa kagum kepada ahli PUSPANITA dan wanita bekerjaya secara keseluruhannya yang mampu bekerja dan mempunyai keluarga. Bukan saja berjaya menguruskan diri dan kerjaya dengan baik malah memastikan setiap keperluan rumah dipenuhi dengan sempurna,” katanya.

Sempena majlis itu, Juliah turut melancarkan Tabung Kasih Puspa Sabah dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada tabung berkenaan.

Yang turut hadir ialah Pengerusi PUSPANITA cawangan Sabah, Datin Seri Panglima
Datuk Dr Hajah Nuinda Alias; Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Faridah Jaafar dan Pengerusi Pelaksana Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih Bersama Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah, Majella Tan Marquez. -pr/BNN