KOTA KINABALU: Tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang mengumumkan akan meletakkan calon bertanding pada PRU-15 nanti adalah keputusan Parti KDM sendiri dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kedudukan GRS..

Menurut Datuk Mohamed Razali Razi Setiausaha Kerja Parti GRS, PKDM bukanlah salah satu parti komponen GRS, maka dengan itu pengerusi GRS iaitu YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tidak mempunyai sebarang kuasa dan kedudukan untuk menghalang atau menafikan tindakan Parti KDM daripada bertanding dan meletakkan calon di mana-mana kerusi parlimen semasa PRU-15 akan datang termasuklah kerusi-kerusi parlimen yang akan ditandingi oleh komponen GRS mahupun BN.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata tindakan yang dilakukan oleh PKDM tidak melanggar mahupun membelakangi GRS selaras dengan prinsip demokrasi kerana parti berkenaan bukan sebahagian daripada komponen GRS.

Perlu diingat, PKDM bukan hanya mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen yang berkemungkinan bakal ditandingi oleh BN, bahkan juga melibatkan kawasan yang berkemungkinan bakal ditandingi oleh GRS.

“GRS buat masa ini menumpukan segala gerak kerja untuk mempersiapsiagakan jentera pilihan raya di kesemua kawasan parlimen dalam menuju PRU-15 yang akan datang.”

“Kerjasama diantara GRS-BN menjadi keutamaan dan akan terus diperkuatkan di setiap peringkat dan semua kawasan parlimen bagi memastikan kemenangan dalam PRU-15 akan datang.”-pr/BNN