KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk terus memperkasakan golonganwanita di negeri ini, melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan, kata Ketua
Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Sejajar komitmen itu katanya, sejumlah RM5.81 juta diperuntukkan untuk Jabatan Hal
Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) manakala RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita
Sabah (MPWS) pada tahun ini, bagi pelaksanaan program pembangunan modal insanuntuk kesejahteraan wanita di negeri ini.

“Peruntukan yang besar untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita
membuktikan kerajaan amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara
keseluruhannya.

“Bagi meningkatkan lagi pembangunan wanita di negeri ini, kerajaan negeri akan terus
memberi penekanan yang penting kepada golongan wanita dalam Belanjawan 2023
negeri yang akan dibentangkan nanti,” katanya sempena majlis Sambutan Hari Wanita
peringkat negeri Sabah di Magellan Sutera Resort, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut berasa bangga dengan beberapa aktiviti dan projek
yang telah serta sedang dilaksanakan oleh JHEWA dan MPWS bagi membangunkan
wanita di negeri ini.

“Program dan projek secara kerjasama yang dilaksanakan bersama agensi awam dan
swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi banyak manfaat kepada
rakyat di negeri ini, khususnya golongan wanita.

“Kemajuan wanita adalah kemajuan untuk semua. Memberi keutamaan untuk wanita
bukan pilihan, sebaliknya ia adalah keperluan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang inklusif, memberi lebih banyak peluang kepada wanita
adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu sebagai penggerak utama
kemajuan negara, membangunkan institusi kekeluargaan, mengukuhkan budaya
masyarakat penyayang serta memainkan peranan kearah pembangunan ummah
disamping kaum lelaki,” katanya.

 

Hajiji berkata, pembangunan wanita merupakan salah satu agenda penting yang
menjadi tumpuan kerajaan dalam konteks pembangunan negeri.

“Kita telah melihat kejayaan pencapaian dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang
khususnya di negeri ini. Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa
berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita, bukan saja dari segi aspek sosial,
politik dan ekonomi malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.

“Justeru, tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan lagi kerana wanita
masih terbelenggu dengan isu yang biasa atau stereotaip. Ini termasuklah berkaitan
kepimpinan, penglibatan sebagai pembuat keputusan, beban berganda bagi wanita
berkerjaya untuk mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga.

“Jurang gender yang masih ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuatan
keputusan, merupakan satu kerugian kepada negara yang perlu kita tangani secara
bersepadu dan menyeluruh. Ini kerana ramai wanita khususnya di Sabah yang
berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi,”
katanya.

Sejajar dengan tema sambutan iaitu `Kesaksamaan Bersama Untuk Kelestarian’, beliau
berharap ia dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat
terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama.

Yang turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah
Salag; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir.
Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar
Untong; serta Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah merangkap Pengerusi Induk
majlis sambutan, Datuk Dr.Hajjah Tarsiah Taman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita
Sabah merangkap Penganjur Bersama majlis, Hajah Haslina Ismail.-pr/BNN