KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) tidak wajar melantik syarikat logistik swasta lain menggantikan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mengendalikan perkhidmatan pengangkutan Baja Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di Sabah.
Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah berkata, perkhidmatan itu selama ini dikendalikan oleh PPN Sabah bagi  penghantaran baja-baja bersubsidi ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Sabah.
Beliau berkata, memandangkan kontrak perkhidmatan diantara NAFAS dengan PPN Sabah  masih sah dan hanya akan tamat pada 31 Disember 2022, maka amat tidak wajar NAFAS bertindak melantik syarikat logistik swasta lain bagi menjalankan tugas dan fungsi yang sama dengan PPN Sabah.
“Perkara ini amat serius kerana ia melibatkan soal hak dan kepentingan ahli-ahli peladang di Sabah khususnya dengan PPN Sabah adalah pemegang SAHAM di NAFAS mewakili ahli ahli Peladang di Sabah”.
“Bagaimana pengurusan NAFAS boleh terlepas pandang atau sewenang wenangnya melaksanakan suatu perlantikan tanpa merujuk atau memaklumkan kepada PPN Sabah? Tindakan ini jelas sebagai satu sabotaj jahat dalam pengurusan NAFAS yang dilihat sengaja mahu membunuh Pertubuhan Peladang yang ada terutamanya PPN Sabah dari terus berkembang dalam perniagaan yang menjana keuntungan demi kepentingan ahli (Petani, PPK dan PPN)”.
“Justeru selaku Presiden Kehormatan PPK Pitas, saya menggesa NAFAS mengikut landasan kontrak perjanjian sediaada yang ditandatangani diantara NAFAS dan PPN Sabah dengan tidak mengenepikan hak dan kepentingan Ahli seperti PPK dan PPN”.
“Saya juga meminta agar Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam isu NAFAS-PPN Sabah kerana NAFAS kini diterajui oleh abangnya, Dato’ Zamri Yaakob selaku Pengerusi”, tegasnya.
Rudy berkata demikian ketika menyokong kenyataan PPN Sabah  berhubung isu tersebut yang didedahkan oleh Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah, Datuk Ng Loi Tect.
Ng dalam kenyataannya semalam menyelar tindakan NAFAS melantik syarikat lain mengendalikan perkhidmatan pengangkutan baja bersubsidi ke PPK seluruh Sabah walaupun kontrak perkhidmatan kedua-dua pihak masih sah dan belum tamat.
Ruddy berkata, selaku Pertubuhan Peladang terbesar di negara ini, NAFAS sepatutnya membantu dan menjaga kepentingan PPN dan PPK seluruh negara.
Menurutnya, NAFAS sepatutnya memberi lebih banyak kerja-kerja perkhidmatan kepada PPN Sabah yang telah lama terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan baja kepada PPK.
“Inilah cara NAFAS membantu PPN dan PPK serta ahli-ahli peladang, sebaliknya bukan melantik syarikat logistik swasta lain menggantikan PPN”, tegasnya.
Selain perkhidmatan logistik, NAFAS juga menyewa gudang dan ruang pejabat daripada PPN Sabah.-pr/BNN