TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengumumkan
peruntukan sebanyak RM54 juta bagi membantu sekolah-sekolah Cina dan mubaligh
serta badan keagamaan bukan Islam di Sabah, pada tahun depan.

Beliau mengumumkan perkara itu pada Majlis Makan Malam bersama Komuniti Cina
Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, malam tadi.

Penambahan sebanyak RM7 juta itu berbanding RM47 juta pada tahun ini, katanya
adalah sejajar dengan komitmen padu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan
Nasional (GRS-BN) untuk memastikan keperluan masyarakat itu terus diberi
keutamaaan.

“Saya berharap bantuan yang diagihkan atas keprihatinan Kerajaan negeri itu akan
dapat meringankan beban dalam membangun dan membaiki sekolah serta rumah
ibadat bukan Islam di negeri ini.

“Ini sekali gus akan memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di
peringkat akar umbi. Kerajaan negeri sentiasa menekankan dasar keadilan dan
kesaksamaan dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira
bangsa dan agama.

“Sejak menerajui negeri ini, saya telah memberi peruntukan yang besar kepada
masyarakat Cina bagi membantu dalam aspek pendidikan serta badan keagamaan
bukan Islam. Tiada istilah pilih kasih dalam memberi bantuan dan kita akan membantu
mengikut keperluan rakyat di negeri ini,” katanya.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
negeri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu
merangkap calon GRS bagi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15);
Pembantu Menteri Kewangan merangkap ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan
Penaung Persatuan Pemangkin Komuniti Sabah (PKOMS), George Teo.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, masyarakat Cina mempunya banyak kelebihan
terutama dalam perniagaan.

 

“Kepentingan masyarakat Cina termasuk berkaitan sekolah dan kebudayaan tetapi kita
utamakan di bawah kerajaan GRS-BN. Sokongan padu masyarakat Cina di Sabah
kepada kerajaan GRS-BN pada PRU15 ini akan menjamin kesejahteraan masyarakat
itu terus diperjuangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di Tuaran agar terus memberi sokongan kepada
calon GRS Parlimen Tuaran, untuk memastikan kemenangan calon berkenaan pada
PRU15.

“Jangan sia-siakan undi kita, pesan kepada anak-anak kita untuk menjadi pengundi
yang bijak dan matang. Beliau (Datuk Joniston) adalah calon kerajaan yang memerintah
dan berilah peluang kepada kerajaan GRS-BN pada pilihan raya ini,” katanya.

Hajiji turut menjelaskan dalam dua tahun memerintah, banyak yang telah berjaya
dilakukan oleh GRS-BN, terutama dalam usaha pemulihan ekonomi negeri selepas
pandemik COVID-19.

“Pendekatan mesra pelabur yang kita laksanakan membawa ramai pelabur asing dan
tempatan ke Sabah, malah ramai duta dan pesuruhjaya dari negara Arab turut bertemu
dengan saya untuk melialhat peluang pelaburan di negeri ini.

“Kehadiran ramai pelabur dan pembukaan kilang, akan memberi banyak peluang
pekerjaan kepada anak-anak kita di Sabah. Mereka tidak perlu lagi ke luar negara atau
Semenanjung untuk mencari rezeki,” katanya sambil meminta rakyat akan terus
memberi sokongan kepada kepada kerajaan GRS-BN.-pr/BNN