TUARAN: Usahawan wanita di Sabah perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan
bagi melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan berkaitan selok-belok dunia
perniagaan.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, yang juga Yang
Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat
Sabah (MUTIARA GRS) berkata bidang keusahawanan memerlukan komitmen yang
tinggi, justeru pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan
dan pemasaran amat penting dalam membantu usahawan menentukan hala tuju
perniagaan mereka.

Sehubungan itu, Juliah berkata kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar
untuk pembangunan wanita di negeri ini, termasuklah dalam bidang keusahawanan,
pada tahun ini.

“Dalam Belanjawan Negeri 2022, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak
RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita yang mana Jabatan
Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) telah diperuntukkan sebanyak RM5.8 juta manakala
RM11.8 juta peruntukan disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).

“Usaha yang diambil kerajaan menerusi peruntukan ini membuktikan keprihatinan
kerajaan terhadap pembangunan wanita khususnya dalam bidang keusahawanan.
Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta
bagi meningkatkan kapasiti perniagaan usahawan wanita tahun ini. Antaranya melalui
program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis
Amanah Rakyat (MARA) dan Tekunita menerusi Tekun Nasional (TEKUN).

“Sesuai dengan pengisian program pada hari ini di mana semua agensi yang terlibat
dalam bidang keusahawanan dibawa untuk menyampaikan perkhidmatan yang
disedikan kerajaan dalam pemerkasaan usahawan di negeri Sabah. Justeru, peluang
yang disediakan kerajaan ini perlu diambil sepenuhnya oleh usahawan wanita di negeri
ini, khususnya Ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Program Keusahawanan
JHEWANITA Tahun 2022 di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Tuaran, di sini pada
Khamis.

 

Sementara itu, Juliah berkata wanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam
pembentukan generasi akan datang malah mampu menjadi penyumbang kepada
ekonomi keluarga.

“Saya sentiasa menyokong dan menyeru kepada semua wanita agar sentiasa
mempersiapkan diri dengan ilmu serta teruskan usaha murni anda untuk membantu
meningkatkan ekonomi keluarga dan seterusnya menjadi usahawan yang berjaya.

“Bidang keusahawanan telah dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi
negara, daya saing negara, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan,
mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan kualiti kehidupan.

“Saya mendapati penglibatan golongan wanita semakin aktif dengan pelbagai aktiviti
keusahawanan. Ada dalam kalangan mereka yang telah mula berniaga atas inisiatif
sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak. Kita amat gembira dengan usaha dan
perkembangan positif ini,” katanya sambil menambah adalah menjadi hasrat kerajaan
agar lebih ramai menceburi bidang keusahawanan.-pr/BNN