PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan terhadap AhliDewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang sekiranya terbukti
beliau terlibat secara langsung berkempen untuk anaknya, Riduan Rubin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan
Rakyat Sabah (GRS) berkata, beliau masih menunggu laporan berhubung dakwaan
penglibatan Rubin menyokong dan membantu kempen Riduan yang bertanding atas
tiket bebas.

“Kita tengok dulu, kalau dia terlibat secara langsung, kita boleh ambil tindakan. Tetapi
pertama saya kena minta laporan dulu, walaupun kita nampak dia bersama anak nya dalam gambar, dia bukan berkempen dan sebagainya”.

“Kita perlu adil kepada semua. Kita tengok dulu laporan apa yang berlaku. Kalau hanya berdasarkan gambar beliau duduk dengan anaknya, kita tidak boleh ambil tindakan”.

“Tetapi kalau betul dia (Rubin) menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil
tindakan”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Joseph, dekat sini, hari ini.

Be berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pengerusi BN Sabah, Datuk
Seri Bung Moktar Radin agar tindakan disiplin diambil terhadap Rubin yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke￾15 (PRU15).

Bung kelmarin mendakwa pembabitan Rubin selaku wakil rakyat GRS, menjadi dalang
dalam penyertaan Riduan ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat(KDM).

Hajiji berkata, Rubin merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tenom.

Sementara itu katanya, Riduan telah meletak jawatan dari BERSATU sebelum hari
penamaan calon dan berdasarkan peraturan parti tiada tindakan yang boleh diambil
terhadapnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji menekankan penting aspek pendidik yang menjadi
salah satu agenda penting dalam gagasan dan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)
untuk rakyat dan negeri Sabah.

Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200 ribu kepada SMK St. Joseph bagi
membeli peralatan dan perkakas sekolah.-pr/BNN