Tumpu usaha wujudkan peluang kerja, basmi kemiskinan

0
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa supaya menumpukan usaha mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mempergiat program pembasmian kemiskinan di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir, berkata usaha itu bagi mengurangkan kadar pengangguran selain untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan kumpulan sasar.
Beliau berkata, walaupun Sabah menjadi antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mencatat KDNK perkapita dengan RM29,960 pada tahun lalu, berbanding RM24,652 tahun sebelumnya, hakikatnya kadar kemiskinan dan pengangguran masih tinggi.
Jelasnya, Laporan Sosio Ekonomi Negeri Sabah pada 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan merekodkan insiden kemiskinan mutlak di Sabah adalah yang tertinggi iaitu 25.3 peratus pada 2020 berbanding negeri lain.
“Saya juga ingin menyentuh laporan Bank Dunia yang menyatakan bahawa kadar kemiskinan di Sabah pada 2020 adalah yang tertinggi di negara ini iaitu lebih tiga kali ganda daripada purata kemiskinan negara.
“Laporan itu juga menyebut hampir 36 peratus daripada semua yang hidup dalam kemiskinan di Malaysia berada di Sabah.
“Pada 2019 hanya Penampang mempunyai kadar kemiskinan di bawah purata kebangsaan, manakala kadar kemiskinan daerah Tongod ialah 57 peratus iaitu 10 kali ganda purata kemiskinan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN), hari ini.
Bagi isu pengangguran, katanya Sabah direkodkan sebagai yang tertinggi di antara lima negeri yang ketinggalan di seluruh negara dengan empat di bawahnya ialah Sarawak, Kedah, Kelantan dan Perlis.
Katanya, kadar pengangguran Sabah adalah yang kedua tertinggi pada 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19 dengan 5.8 peratus, namun melonjak sehingga 8.2 peratus pada tahun lalu sebelum mencecah 8.6 peratus pada suku kedua 2022.
“Kadar pengangguran di kalangan siswazah Sabah juga merekodkan peratusan yang tinggi setiap tahun iaitu 8.1 peratus pada 2019, diikuti 9.5 peratus pada 2020 dan turun semula kepada 8.4 peratus pada 2021,” katanya.
Beliau menekankan, golongan belia adalah antara aset negara yang harus diberi peluang dalam pembangunan ekonomi.
Jelasnya, dengan pembabitan aktif belia dalam aktiviti pembangunan ekonomi, kadar pengangguran dalam kalangan belia luar bandardan graduan baharu dapat dikurangkan.-pr/BNN