PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick turun padang untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat Penampang khususnya tempat letak kereta di Klinik Kesihatan Penampang dan masalah banjir di Kg.Kolopis dan Kg.Tuavon.
Dalam lawatan di Jalan Poliklinik beliau mencadangkan supaya dibina tempat letak kereta di kedua-dua belah tepi jalan raya kawasan itu bagi memudahkan orang ramai meletakkan kereta seterusnya mengelak kesesakan lalulintas.
“Saya menerima banyak rungutan dan aduan daripada penduduk kampung mengenai masalah kesesakan jalan dan tempat letak kereta khususnya mereka yang mendapatkan rawatan atau perkhidmatan di Klinik Kesihatan Penampang.
“Saya berharap penyediaan tempat letak kereta dikedua-dua belah tepi jalan itu akan dapat menyelesaikan masalah itu seterusnya memberikan keselesaan kepada semua pengguna jalan berkenaan,” katanya.
Semasa kempen pilihan raya umum baru-baru ini, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkesempatan meninjau keadaan jalan itu untuk mendapatkan gambaran sebenar.
Selepas itu Ewon melawat Kg.Kolopis dan Kg.Tuavon untuk mendengar cadangan penyelesaian masalah banjir daripada penduduk kampung seterusnya melawat kawasan yang dikatakan penduduk kampung antara punca masalah banjir di kampung itu.
Penduduk Kg.Kolopis mendakwa antara punca berlakunya banjir di kampung itu ialah projek Pan Borneo dan pembinaan culvert yang kecil di kawasan itu.
Ewon berkata sebagai penyelesaian masalah itu beliau akan menjemput kementerian berkaitan melawat punca masalah banjir di Kg.Kolopis bagi memudahkan mereka mengambil tindakan perlu.
Ini adalah lawatan pertama beliau di kampung itu selepas dilantik sebagai Menteri dan Ahli Parlimen Penampang beberapa minggu lalu.-pr/BNN