KOTA KINABALU: Semangat perpaduan merupakan tunjang kejayaan masyarakat Foochow dalam pelbagai bidang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji
Noor.

Katanya, pepatah menyebut “memakmurkan jiran anda” (Prosper Your Neighbour)
dengan menjaga dan menyokong diantara satu sama lain telah menjadi asas kejayaan
masyarakat Foochow.

“Ramai yang boleh belajar daripada masyarakat Foochow, bahawa perpaduan adalah
tunjang kejayaan dan kemakmuran. Malah Foochow juga amat terkenal sebagai
masyarakat yang tabah serta pintar dalam perniagaan”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2023 Gabungan
Persatuan-Persatuan Foochow Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (The Federation
of Foochow Association of Sabah & W.P. Labuan) di Dewan Hakka Sabah, malam tadi.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian
dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Gapari Kitingan.

Hajiji berkata, masyarakat Foochow di Sabah yang kebanyakannya datang dari negeri
Sarawak, mempunyai hubung kait dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan
negeri Sabah.

Menurutnya, pada awalnya mereka bekerja sebagai petani, guru dan menjawat awam,
selain turut terlibat dalam industri perkayuan, pertanian, pembinaan, percetakan dan
media, perdagangan dan kewangan. Contohnya, Hock Hua Bank merupakan antara
institusi kewangan yang ditubuhkan oleh masyarakat Foochow.

Katanya, kini generasi baharu Foochow terlibat dalam bidang profesional seperti menjadi
peguam, jurutera, kontraktor, akauntan, ahli farmasi dan lain-lain.

Beliau gembira mengetahui Gabungan Persatuan-Persatuan Foochow Sabah telah
banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini, melalui perdagangan
dan perniagaan.

 

“Masyarakat Foochow di Sabah juga terlibat secara aktif dalam pembangunan ekonomi,
pendidikan, budaya, masyarakat, politik dan lain-lain sejak sekian lama. Saya berharap
masyarakat Foochow akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam
pelbagai bidang yang diceburi, terutama dalam membantu pemulihan ekonomi selepas
Pandemik COVID-19”.

“Saya ingin melihat gabungan anda melakukan lebih banyak lagi dan terus menyokong
usaha kerajaan negeri untuk memulihkan ekonomi negeri ini. Berikanlah sokongan dan
kerjasama kepada Kerajaan Negeri, bersama-sama bantu merealisasikan misi dan visi
menjadikan Sabah sebuah negeri yang membangun, makmur, maju dan berjaya demi
kepentingan rakyat serta negeri ini”, tegasnya.

Hajiji juga memuji masyarakat Foochow kerana telah mewujudkan beberapa lagi
cawangan baru persatuan itu di beberapa daerah di negeri ini, seperti Penampang,
Sipitang dan Lahad Datu.

“Sudah tentu dengan adanya cawangan baharu ini, hubungan dan kerjasama dalam
kalangan masyarakat Foochow bersama masyarakat lain akan lebih erat lagi,
terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, budaya dan lain-lain”,
tambahnya.-pr/BNN